Kuala Lumpur - “Saya tidak kisah apa orang nak kata. Ini rumah saya dan hak saya. Jadi suka hati sayalah nak sewakan kepada siapa.”
Itu kata seorang wanita mahu dikenali sebagai Linda, 29, antara segelintir warga kota yang mengamalkan hidup ala Hollywood dengan menyewakan bilik di kediaman mereka kepada lelaki.
Bagi golongan seperti Linda, apa yang lebih utama ialah mendapat sumber kewangan untuk menampung kos kehidupan dan ada juga yang menganggap berkongsi rumah dengan individu berlainan jantina lebih serasi dan selesa.
“Kami bukan buat perkara tak senonoh. Kalau orang nak ambil tahu pun, saya cakaplah kami saudara. Yang penting, beban saya berkurangan,” katanya.
Bagaimanapun, cara kehidupan songsang itu disifatkan Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadut sebagai mengundang syaitan dan perlu dijauhi kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
“Tindakan itu boleh diibaratkan seperti ‘kucing dengan ikan’. Mana boleh kita dapat mengawal kedua-dua situasi ini dan ia sudah pasti akan berlaku tindak balas negatif.
“Walaupun tidak berlaku zina tetapi ia akan menimbulkan fitnah. Perlu diingatkan apabila berada lelaki dan perempuan, sudah pasti syaitan menjadi rakan yang akan mendampingi mereka,” katanya.
No comments: