Tuesday, February 26, 2013

Sudah tiada perasaan Sayang - Aidil


SEREMBAN - Pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, gagal dalam sebutan permohonan cerai isterinya yang juga pelakon, Rita Rudaini Mokhtar di Mahkamah Rendah Syariah Seremban dekat sini, semalam. 

Hakim Syarie Hamizan Mohd Nor memerintahkan jawatankuasa khas pendamai ditubuhkan yang diwakili seorang keluarga terdekat kedua-dua pihak dilantik dan menetapkan 8 Mac depan sebagai tarikh  baru sebutan kes yang turut dihadiri pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JHEAINS). 

Mohd Aidil 26, dan Rita 37, hadir di mahkamah untuk mendengar sebutan permohonan cerai yang dikemukakan Aidil selaku plaintif. 

Hamizan dalam penghakimannya berkata, memandangkan seorang bersetuju dan seorang lagi tidak bersetuju, maka jawatankuasa khas pendamai perlu ditubuhkan. 

“Ini mungkin boleh mewujudkan rasa sayang semula. Sekiranya jawatankuasa khas pendamai tersebut gagal menemui jalan penyelesaian juga, barulah proses cerai dilakukan,” katanya. 

Terdahulu, dalam prosiding, Rita diwakili peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Md Zain, menuntut jawatankuasa khas pendamai ditubuh mengikut Seksyen 47 kerana tidak bersetuju dengan permohonan cerai kali kedua difailkan Aidil pada 31 Januari lalu. 

“Ini kerana tiada perbincangan pernah dilakukan sebelum ini dan beranggapan dengan perbincangan secara formal menerusi jawatankuasa khas pendamai ditubuhkan akan membolehkan perbincangan dibuat secara menyeluruh. 

Bagaimanapun, peguam syarie, Noor Ariff Delia Ramli yang mewakili Aidil memberitahu mahkamah bahawa penubuhan jawatankuasa khas mahkamah tidak perlu kerana kes ini sudah lama berlarutan. 

“Daripada perbincangan dengan anak guam saya, tiada jalan penyelesaian didapati dan memohon penceraian secara baik dapat dilakukan di sini,” katanya. 

Hamizan kemudiannya bertanya kepada Rita dan Aidil, sama ada kedua-dua mereka masih mempunyai rasa sayang di antara satu sama lain. 

Hakim syarie: Sayang lagi tak kat isteri? 

Aidil: Tak (merujuk kepada Rita). Saya dah tak sayangkan dia lagi dan saya dah tak inginkan dia. 

Hakim syarie: Sayang tak kat suami? 

Rita: Saya sayang keluarga saya. Selagi bergelar suami, saya sayang. 

Hakim syarie : Nak cerai dah? 

Aidil: Ya (angguk) 

Dalam pada itu, Rita turut mahu mengetahui apakah kesalahannya sehinggakan plaintif mahu menceraikannya. 

“Apa salah saya. Tiada perbincangan dibuat. Tiada alasan dia (Aidil) keluar dari rumah dan tinggalkan anak macam itu sahaja. Sebagai seorang isteri saya mempunyai hak untuk mengetahui sebab saya diceraikan,” katanya. 

Sementara itu, Aidil berkata, sekiranya dia (Rita) masih sayangkan keluarga, maruah suami perlu dijaga. 

“Saya anggap kes ini berlarutan. Sudah dua kali dia minta diceraikan, tetapi masa itu saya masih boleh bersabar. Ada tak dia pernah menjaga maruah saya sebagai suami selama ini,” katanya. 

Rita berkata, dia tidak terkejut dengan permohonan cerai kali kedua yang difailkan Aidil. 

“Kalau boleh, siapa nak cerai. Buat perbincangan dulu, ikut 'step' sekiranya tidak boleh barulah cerai. Nanti menyesal tidak guna. Kena fikir panjang, jangan fikir pendek,” katanya. 

Rita juga menafikan dakwaan beliau dua kali meminta cerai. -SH

No comments:

Leave a Reply