Presiden Venezuela, Hugo Chavez (Gambar),58 meninggal dunia selepas dua tahun terpaksa bergelut dengan penyakit kanser yang dihidapinya.
Berita kematian pemimpin sosialis yang sudah memerintah negara itu untuk 14 tahun diumumkan Naib Presidennya, Nicolas Maduro menerusi ucapan televisyen yang disiarkan ke seluruh negara, hari ini.
Susulan berita kematian Chavez yang turut memenangi pilihanraya presiden Oktober tahun lalu untuk penggal keenam, ia membuka pintu bagi pilihanraya baru dan bakal menjadi medan ujian sama ada pendekatan revolusi sosialisnya mampu bertahan tanpa pemimpin berkarisma itu.
Sementara itu beratus rakyat Venezuela berhimpun di jalan raya sekitar bandar Caracas bagi meratapi pemergian Presiden Hugo Chavez selepas berita kematian pemimpin itu diumumkan oleh Naib Presidennya, Nicolas Maduro pagi tadi.
Kebanyakan penduduk kota menunjukkan wajah sugul dan muram sambil berpelukan antara satu sama lain dan melaungkan slogan menyokong Presiden Hugo Chavez berhampiran istana presiden Miraflores. Sebahagian mereka memakai kemeja-T dengan slogan “Mara ke hadapan komander!”
“Saya amat merasai kesakitan itu, saya tidak mampu bercakap,” kata Yamilina Barrios, 39, seorang kakitangan swasta yang turut serta dalam perhimpunan berkenaan.
“Beliau (Chavez) adalah perkara terbaik yang negara ada. Saya sangat mengagumi dia. Mari bersama-sama kita harapkan seluruh negara bertenang dan meneruskan tugas yang ditinggalkan beliau.”-berita harian
No comments: