Wednesday, June 26, 2013

Belasungkawa perginya seorang pemimpin berjiwa rakyat

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. A Rahman Mokhtar,54, yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pagi ini merupakan anak Pulau Perhentian yang pertama menjadi doktor.

Allahyarham menjadi kebanggaan penduduk pulau masyarakat nelayan itu apatah lagi beliau kembali bersama untuk mereka sebagai pegawai perubatan dan kemudiannya sebagai seorang wakil rakyat yang mengenepikan sentimen politik dalam urusan khidmatnya.

Dikenang sebagai anak nelayan dan seorang pemimpin yang perwatakan cukup sederhana,senang disapa dan didekati, mudah pula menyulam senyuman dalam bicara dan dianggap sebagai ahli politik yang lurus, disenangi rakan dan lawan.

Sebelum dipilih menjadi calon, Allahyarham membuka sebuah klinik di Kuala Besut yang menjadi pintu masuk dan pintu keluar bagi penduduk pulau itu ke tanah besar dalam urusan harian mereka.

Bagi kalangan penduduk setempat beliau dianggap sebagai doktor yang baik hati dan hanya mengenakan caj paling minimum kerana menyedari kepayahan hidup

mereka.

Khidmatnya menjadi bualan ramai dan beliau mulai disorot untuk memberi khidmat lebih besar dan dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Besut dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Beliau menang dengan majoriti 2,631 dan seterusnya dilantik sebagai sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri dan melalui peranannya, kemudahan kesihatan dan kebajikan untuk anak negeri jauh mengatasi negeri-negeri lain, malah dicemburui.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Muhamad Omar yang juga rakannya sejak remaja memberitahu, Allahyarham tidak berwatak sebagai seorang ahli politik tetapi seorang yang bekerja untuk meningkatkan kesihatan rakyat.

Allahyarham pernah berkata cukuplah sepenggal baginya (sebagai orang politik) tetapi beliau tetap dipilih semula pada Pilihan Raya Umum Ke-13 baru lalu dan telah menang dengan majoriti 2,434, paling tinggi dalam parlimen Besut.

Allahyarham yang juga Setiausaha UMNO bahagian Besut kemudian dilantik semula sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan tambahan tugas setelah kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dibentuk semula bulan lalu.

"Walaupun ketika Allahyarham menghadapi masalah kesihatan yang cukup serius, beliau difahamkan masih cuba menyembunyikan dan berusaha mengagahkan diri untuk menemui rakyat dalam majlis kesyukuran keputusan pilihan raya Khamis lalu.

"Dalam keadaan yang cukup kritikal ketika itu, beliau berkeras memilih untuk menerima rawatan di Hospital Besut pada awal pagi dengan harapan dapat mencelah seketika pada majlis yang dijadualkan berlangsung pada tengah hari itu.

"Allahyarham meminta beliau diberi peluang terakhir bertemu rakyat namun Allahyarham tidak berkesempatan dan terus dikejarkan ke HSNZ,'' ujarnya.

Allahyarham dikatakan merahsiakan masalah kesihatannya sejak sekian lama dan hanya diketahui oleh beberapa orang anggota keluarga dan sabahat terdekat.

Beliau meninggalkan seorang balu, Azizah M. Omar,53, serta empat anak iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki di samping pengundi yang memilihnya.

Ketika ramai yang mula memperkatakan soal pilihan raya kecil dalam saat kesedihan anggota keluarga, sahabat handai yang merasai kehilangan, marilah kita mengenang kebaikannya dan Alfatihah untuk Allahyarham.

No comments:

Leave a Reply