Saturday, July 13, 2013

Calon Pas tidak boleh dipercayai

ISLAM tidak pernah mengajar para umatnya berbaiah seperti dilakukan oleh calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Azlan @ Endot Yusof dalam satu program di Kuala Besut, semalam.
Sebaliknya tegas aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin, baiah hanya berlaku kepada ketua negara dan bukan selain daripadanya.
”Baiah itu bermaksud ikrar ketaatan kepada pemerintah atau kepada ketua. Namun, Islam tidak pernah mengajar kita berbaiah sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang ramai.
”Apatah lagi baiah itu dibuat dengan perkataan ‘sekiranya’ di hadapan pemimpin dan penyokong parti mereka. Tidakkah itu boleh dilihat sebagai main-main dan tidak bersungguh-sungguh,” katanya semalam.
Beliau mengulas tindakan mengejut Pas itu apabila meminta Endot melafazkan baiah akan dilaknat Allah jika melompat parti sekiranya menang.
Azlan @ Endot, 48, melafazkan baiah berkenaan dengan dipimpin oleh Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang antara lain menyebut jika beliau keluar daripada Pas dan menyertai parti lain, beliau akan dilaknat Allah dan Rasul.
Baiah itu dilafazkan sejurus selepas Abdul Hadi mengumumkan Azlan @ Endot sebagai calon Pas bagi PRK tersebut di Kampung Nail, Kuala Besut, Terengganu, semalam.
Mohd. Riza turut mempersoalkan mengapa baiah itu terpakai sekiranya calon Pas itu menang.
”Adalah lebih wajar sekiranya beliau melafazkan ikrar – saya bersedia dilaknat oleh Allah dan seluruh makhluk, jika saya menang saya gagal untuk melaksanakan tanggungjawab saya seperti yang sepatutnya,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengelak daripada menjelaskan mengapa baiah (bersumpah) dimestikan hanya untuk calon namun tidak terpakai jika melibatkan para pemimpin pembangkang yang terpalit dengan isu moral.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut sebaliknya menegaskan, perkara itu yang dibangkitkan media tidak perlu dijawab.
Malah, beliau turut menjelaskan persoalan itu tidak ada kena-mengena dengan PRK DUN Kuala Besut.
Walau bagaimanapun, ditanya kenapa pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang terbabit dalam isu moral tidak perlu bersumpah, Husam cuma menjawab:
“Boleh bersumpah, kalau saudara nak bersumpah pun boleh,” katanya ketika ditemui dalam majlis penamaan calon PRK DUN Kuala Besut di sini hari ini.
Isu itu timbul selepas Pas buat pertama kali meminta calonnya dalam PRK DUN Kuala Besut, Endut @ Azlan Yusof melakukan baiah secara terbuka dalam majlis ceramah dan pengumuman calon baru-baru ini.
Antara baiah tersebut adalah Azlan berjanji tidak akan melompat parti sekiranya menang dan jika beliau melanggarnya akan dilaknat Allah SWT, Rasulullah SAW dan orang yang beriman.
Sementara itu, lafaz baiah tersebut berbunyi:
“Bahawa saya Azlan Endot Yusof berikrar untuk patuh kepada hukum Allah dan Rasulnya serta patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Bahawa saya bersumpah dengan nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi sekiranya saya meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan saya sendiri setelah dipilih menjadi calon dan terpilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), maka saya akan dilaknat oleh Allah, Rasul, orang yang beriman serta sekalian yang melaknat. Dan segala perbelanjaan saya dengan menggunakan wang elaun ADUN adalah haram dan bahawa saya juga bersumpah dengan nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi untuk meletakkan jawatan dari menjadi ADUN apabila saya keluar atau dipecat dari parti dan Allah bersaksi atas apa yang saya tuturkan itu."

Sumber terengganutoday.com

No comments:

Leave a Reply