Dua warga Singapura terbunuh, manakala seorang hilang dan lima lagi cedera selepas bot memancing yang dinaiki kesemua mereka merempuh sebuah bot pukat tunda ikan di 30 batu nautika dari Jeti Tanjung Gemok berhampiran Pulau Layang, petang semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa Raymond Cheng Yuen Chi, 35, dan Ng Eng Hua, 37, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala akibat hentakan kuat selepas perlanggaran tersebut.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika bot pemancing itu tidak menyedari kehadiran bot pukat tunda dari arah Pulau Tioman menuju ke Tanjung Gemok.
“Bot memancing itu dipercayai keluar dari Jeti Kampung Sungai Puteri sejak awal pagi lagi dan menjalankan aktiviti itu sekitar kawasan perairan Tanjung Gemok,” katanya.
Bagaimanapun Johari berkata, polis sehingga kini masih belum berjaya mengesan seorang lagi mangsa yang dipercayai hilang sehingga jam 7 petang semalam.
Katanya, kerja operasi dan menyelamat seorang lagi mangsa dijalankan Polis Marin, Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) dan bot persatuan memancing dari Kampung Sungai Puteri.
“Tiga mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Mersing, manakala dua lagi dihantar ke Poliklinik Kuala Rompin untuk rawatan lanjut. Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Mersing untuk bedah siasat,” katanya.
sumber
No comments: