Tuesday, July 30, 2013

Mayat lelaki ditemui kerana menjawab telefon

Tindakan seorang pemuda memberhentikan motosikal untuk menjawab panggilan telefon membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di jalan masuk sebuah taman perumahan di Bandar Sungai Emas, Kuala Langat, semalam.

Saksi kejadian dikenali sebagai Amran, 24, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu dia dalam perjalanan menuju ke rumah rakan sekerjanya di kawasan berhampiran memberhentikan motosikalnya untuk menjawab panggilan telefon.

Menurutnya, ketika menjawab panggilan telefon itu dia terlihat kelibat manusia berpakaian lengkap baju T dan berseluar hitam terbaring.

“Saya mula berasa ada sesuatu tidak kena apabila melihat kaki mangsa menghadap laluan jalan dan saya segera mendekati lokasi tersebut yang hanya dua meter dari tempat saya berhenti.

“Sebaik sahaja mendekati lokasi kejadian, saya terkejut melihat tubuh manusia, namun tiada sebarang barang berada bersamanya,” katanya yang kemudian menghubungi polis memaklumkan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkata, mangsa dikenali sebagai A Loose, 42, beralamat No 23, Jalan Kuini, Taman Seri Jarom, Banting.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati tangan kanan mangsa patah dan dibawa ke Hospital Banting.

“Polis masih menjalankan siasatan dan bedah siasat akan dijalankan hari ini,” katanya.

Nordin berkata, dia meminta saksi kejadian tampil untuk memberikan keterangan lanjut.

No comments:

Leave a Reply