Saturday, July 6, 2013

Whatsapp bakal diharamkan

DUBAI – Kerajaan Arab Saudi merancang untuk menyekat atau melarang penggunaan aplikasi komunikasi WhatsApp dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Sebuah akhbar tempatan memaklumkan, larangan itu akan dikuatkuasakan jika syarikat operator WhatsApp
yang berpangkalan di Amerika Syarikat gagal memenuhi kehendak dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Maklumat (CITC) sebelum ini telah melarang penggunaan aplikasi Viber pada minggu lalu.
Pihak berkuasa itu menjelaskan, aplikasi Viber dan Whatsapp didapati sukar dipantau.
Pada masa sama ia turut menjejaskan pendapatan syarikat telekomunikasi yang kehilangan banyak penggunaan panggilan dan SMS antarabangsa kerana kehadiran aplikasi terbabit.
Kerajaan Arab Saudi juga dijangka melaksanakan kawalan lebih ketat ke atas ruang siber dan Internet serta telefon pintar, sejajar dengan undang-undang ketat berkaitan percampuran antara rakyat.
“Kita telah berhubung dengan WhatsApp dan platform komunikasi yang serupa dengannya bagi meminta kerja sama mematuhi peraturan dan syarat telekomunikasi Arab Saudi.
“Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang hasil yang diharapkan,” kata Ketua CITC Abdullah Al-Darrab kepada Arab News.
Abdullah berkata, operasi Viber telah dihalang minggu lalu kerana tidak mematuhi syarat ditetapkan, dan WhatsApp serta Skype juga bakal berdepan tindakan sama.
Ditanya bilakah perkhidmatan WhastApp itu bakal disekat, beliau menegaskan kemungkinan besar ia bakal dilaksanakan sebelum ketibaan bulan Ramadan iaitu 9 Julai ini.
Pihak berkuasa pada Mac ada memaklumkan bahawa Viber, WhatsApp dan Skype telah melanggar undang-undang tempatan, namun ia tidak menyatakan apakah bentuk kesalahan yang telah dilakukan.
Media tempatan juga melaporkan bahawa tiga operator utama Arab Saudi iaitu Saudi Telecom Co, Etihad Etisalat (Mobily) dan Zain Saudi telah ditanya oleh CITC sama ada mereka boleh memantau dan menyekat aplikasi terbabit atau tidak.
CITC memaklumkan, kadar pemilik telefon bimbit pada akhir 2012 adalah sebanyak 188 peratus.
Pada masa sama, Arab Saudi memiliki 15.8 juta pelanggan Internet dan secara purata pengguna menonton tiga kali video di YouTube sehari.
Panggilan telefon dan SMS antarabangsa konvensional merupakan perniagaan menguntungkan operator telekomunikasi di Arab Saudi yang mempunyai sekitar sembilan juta pekerja asing.
Menurut penganalisis, mereka menggunakan aplikasi berasaskan Internet seperti Viber untuk berkomuniasi dengan saudara mereka di negara-negara lain.
sumber:Ce cite

No comments:

Leave a Reply