السلام عليكم
Tempoh hari penulis diminta untuk menjelaskan status sebenar bagi bait-bait yang dianggap zikir dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini bahkan di negara-negara sekitar nusantara ini. Kalimah atau bait-bait di dalamnya dinisbahkan sebagai zikir taubat dan ada juga menamakannya zikir munajat atau nama-nama lainnya yang mungkin penulis sendiri tidak tahu, wallahualam. Sahabat blog tersebut adalah akhi Anak Ulu Cheka dan turut mendapat respon dari akhi Denaihati yang turut ingin mengetahui status sebenar kesahihan bait-bait tersebut. Kedua mereka adalah blogger yang menurut saya popular dan mempunyai pengisian yang baik di dalam blog mereka, jemput ziarah ke blog mereka untuk mengambil apa yang bermanfaat.
Penulis memuji sikap kedua blogger senior ini yang mana bertanyakan status sebenar sesuatu perkara. Suatu perkara yang jarang ada pada kebanyakan ummah hari ini dimana kebanyakan dari kita lebih gemar menerima bulat-bulat dan berta'lid dengannya tanpa menyemak terlebih dahulu sumber atau dari mana datangnya sesuatu dakwaan, teori dan sebagainya. Adapun ia banyak berlaku termasuklah dalam urusan agama, seperti penggunaan hadith tanpa mengetahui statusnya, penggunaan bait-bait seperti yang akan penulis jelaskan sebentar nanti dan sebagainya. Semoga kita semua selepas ini ringan mulut dan tidak segan silu bertanya akan sumber dan status kesahihan sesebuah perkara sebelum menerimanya. InsyaAllah.
Penjelasan Status Zikir Taubat الهي لست للفردوس أهلا
Berikut bait-bait yang mahsyur yang dinisbahkan sebagai zikir taubat/munajat dan nama lain, wallahua'lam.
إِلَهِي لَسْتُ لِلْفِرْدَوْسِ أَهْلَا
وَلَا أَقوَى عَلَى النَّارِ الْجَحِيمِ
فَهَبْ لِي تَوْبَةً وَاغْفِرْ ذُنُوبِي
فَإِنَّكَ غَافِرُ الذَّنبِ الْعَظِيمِ
Wahai Tuhan ku tak layak ke Syurga-Mu
Namun Aku tidak sanggup ke neraka-Mu
Terimalah taubatku dan ampuni segala dosaku
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar
Sepanjang pengetahuan penulis, bait-bait ini dinisbahkan kepada beberapa tokoh tertentu antaranya ialah:
1. Daripada al-Imam As-Syafie dalam kitab Diiwaan al-Imam al-Syafie. Tidak ditemukan bait-bait diatas di dalam al-Diiwaan sebagaimana yang didakwakan.
2. Daripada Rabiatul Adawiyah. Dakwaan diatas tiada asalnya, tiada bukti yang menunjukkannya dan tiada dinuqilkan dalam mana-mana kitab kibar ulama'.
3. Daripada Syair Abu Nawas.
4. Daripada Ash-Sha'raaniyy dalam I'aanah At Taalibiin.
Maka yang thabit adalah datangnya dari seorang tokoh sufi bernama Ash-Sha'raaniyy dalam I'aanah At Taalibiin yang menyebut bahawa orang yang mengamalkan membacanya secara tetap pada hari Jumaat maka dia akan mati dalam Islam tanpa syak. Lajnah Daa'imah mengeluarkan fatwa membid'ahkan amalan membaca bait-bait ini selepas Jumaat namun tidak mengingkari maknanya yang boleh diinterpretasi dengan beberapa cara.
عن سيدي عبد الوهاب الشعراني - نفعنا الله به - أن من واظب على قراءة هذين البيتين في كل يوم جمعة، توفاه الله على الاسلام من غير شك، وهما: إلهي لست للفردوس أهلا * * ولا أقوى على نار الجحيم فهب لي توبة، واغفر ذنوبي * * فإنك غافر الذنب العظيم ونقل عن بعضهم أنها تقرأ خمس مرات بعد الجمعة..
Maka bait diatas bukanlah bait zikir yang thabit dari Rasulullah s.a.w dan ia tidak boleh diamalkan sama sekali sebagai zikrullah baik ketika sesudah solat, ketika qiamullail dan sebagainya atas dasar ibadah. Sebagi umat Islam, kita seharusnya memohon kepada Allah akan rahmatnya untuk ke syurga dan bukan ke neraka. Menyatakan tidak layak untuk ke syurga adalah tidak tepat kerana dengan rahmat dan limpah kurniaNya, sesiapa sahaja yang dikehendakiNya boleh berada dalam syurga, insyaAllah. Lemahnya bait ini jika dianggap zikir adalah kerana bait ini dengan jelas menyalahi hadith Rasulullah s.a.w:
فإذا سألتم الله فسلوه الفردوس
الراوي:أبو هريرة المحدث:البخاري - المصدر:صحيح البخاري- الصفحة أو الرقم:7423
Cara Beramal Dengan Bait Ini
Menyatakan bait ini adalah zikir merupaka bid'ah dan satu kesalahan yang besar kesannya. Apatah lagi beramal dengan nya yang mana ia tiada sandaran yang thabit dari zikir-zikir Rasulullah s.a.w. Adapun begitu tidak menjadi kesalahan jika ia dinisbahkan sebagai syair, nasyid, dan sebagainya dan bukan sebagai suatu bentuk zikrullah. Berikut adalah terjemahan daripada keseluruhan bait syair tersebut:
Wahai Tuhan ku tak layak ke Syurga-MuNamun Aku tidak sanggup ke neraka-MuTerimalah taubatku dan ampuni segala dosakuSesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besarDosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai,Terimalah taubatku Wahai Tuhan yang Maha TinggiDan usiaku berkurang setiap hari,Dan dosaku pula bertambah setiap masaTuhanku, hamba-Mu yang sering melakukanmaksiat telah datang kepada-MuSenantiasa Berbuat dosa, dan sesungguhnyatelah berdoa kepada-MuJika Kau ampunikan, maka itu hak-MuDan jika Kau tinggalkan, maka siapa lagiyang hendak kami harapkan seperti-Mu
Menerusi bait-bait ini maka tidaklah menjadi suatu kesalahan disisi syara' jika ia diungkapkan sebagai syair arab atau nasyid atas beberapa alasan berikut:
1. Tidak ada satu ayat pun yang menunjukkan bahawa si hamba itu berkata bahawa dia tidak mahu ke syurga, ia hanya menyatakan yang dengan keadaan dirinya sekarang bahawa tidak layak syurga itu untuknya. Bukan tidak mahu ke syurga. Tidak mahu ke syurga dan tidak layak ke syurga adalah dua ayat yang berlainan maksudnya.
2. Syair ini berbentuk rintihan, luahan hati. Ia selari dengan maksud 'kita tidak masuk syurga sebab amal kita, sebaliknya dengan rahmat Allah'. Ia hanya satu rintihan seorang hamba, yang mengakui bahawa amalnya tak banyak, amalnya tak mampu bawa dia ke syurga, melainkan kalau Allah yang izinkan kerana amalan bukan penentu mutlak seseorang itu ke syurga melainkan dengan rahmatNya.
Kesimpulan
Bait-Bait tersebut bukanlah zikir dan tidak boleh menisbahkannya sebagai zikir apatah lagi beri'tiqah dan mengamalkannya sebagai zikir. Banyak zikir-zikir yang terkandung dalam hadith-hadith sahih yang tidak kita amalkan sepenuhnya lagi, jadi tiada sebab untuk mewujudkan zikir lain yang tiada sandarannya dari Rasulullah s.a.w. Adapun begitu ia boleh diamalkan dalam bentuk syair arab atau nasyid sebagai rintihan kita, hamba yang mengharapkan rahmat Allah s.w.t ke syurga. Penjelasan dan kefahaman yang benar amat penting untuk mengelakkan ummah salah faham antara perkara yang mengikuti sunnah dan perkara yang menjauhi sunnah Rasulullah s.a.w. Sebarkanlah jika anda merasai ianya benar.
والله أعلمُ بالـصـواب
No comments: