Saturday, April 19, 2014

Perbicaraan rayuan kes liwat Anwar

PUTRAJAYA 18 April - Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa keterangan pembelaan dari kandang tertuduh yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbicaraan kes liwat melibatkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, merupakan penafian semata-mata.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi menyatakan, pembelaan yang boleh dipercayai adalah bersandarkan kepada keterangan yang menjawab segala bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan tanpa boleh dipertikai.

Bagaimanapun, ujar mereka, mahkamah berpendapat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak langsung menafikan berada di tempat kejadian pada hari dan waktu seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Panel itu juga menyatakan, Anwar tidak menafikan keretanya dilihat memasuki dan meninggalkan kondominium itu pada waktu kejadian, selain tidak mempertikaikan keterangan bahawa dia dilihat memasuki lif ke tingkat lima dan kemudian meninggalkan bangunan tersebut.

Mereka berpendirian, Anwar malah tidak menafikan telah mengarahkan Ketua Staf di ibu pejabat PKR, Ibrahim Yaacob agar menyediakan sampul surat untuk diserahkan kepada beliau dan saksi itu kemudian mengarahkan mangsa ke kondominium berkenaan.

Ujar panel itu, Anwar selaku responden juga tidak mempertikaikan bahawa mangsa yang ketika itu pembantu peribadinya telah membawa sampul berkenaan dan menyerahkan kepadanya dalam pertemuan di kondominium itu.

Sehubungan itu, panel tersebut menyatakan, panel berkenaan berpuas hati bahawa keterangan pembelaan dari kandang tertuduh yang dikemukakan oleh Anwar hanya penafian semata-mata kerana ia tidak menyangkal pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Selain itu, mahkamah berpendapat, hakim bicara sewajarnya terfikir mengapa Anwar memilih untuk memberi keterangan tanpa mengangkat sumpah dan adakah beliau berbuat demikian kerana enggan disoal balas.

Mahkamah berpendapat, pembelaan dari kandang tertuduh meskipun masih merupakan keterangan, ia tidak layak untuk disamakan dengan keterangan bersumpah dari kandang saksi.

'Responden tiada apa untuk ditakuti jika ditanya soalan-soalan yang tidak adil kerana beliau akan dilindungi oleh mahkamah dan para peguamnya,' ujar panel itu dalam penghakiman setebal 85 muka surat yang dikeluarkan hari ini.

Panel hakim itu menyatakan demikian ketika menggariskan alasan-alasan berhubung keputusan panel tiga hakim yang turut dianggotai oleh Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh pada 7 Mac lalu yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar kerana kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, enam tahun lalu.

* Penghakiman penuh tersebut boleh dibaca di internet melalui pautan di Utusan Online.

Panel tersebut membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang diketuai oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan tersebut.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan Anwar diikat jamin RM10,000.

Anwar memfailkan rayuan pada 10 Mac lalu untuk mengetepikan hukuman dan sabitan tersebut manakala pihak pendakwaan turut memfailkan rayuan balas untuk menambah hukuman penjara.

Anwar, 67, disabit bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Dalam penghakiman itu, panel tersebut turut menyatakan pembelaan Anwar berkisar kepada keterangan alibi apabila beliau telah memberikan notis berhubung perkara itu sebelum perbicaraan bermula.

Bagaimanapun, ujar mereka, ketika perbicaraan, pihak pembelaan tidak langsung memanggil saksi alibi termasuk isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ibrahim bagi mempertahankan kesnya walaupun keterangan tersebut penting bagi membebaskan Anwar daripada tuduhan yang dihadapinya.-utusan

No comments:

Leave a Reply