Pengerusi umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman turut menempelak DAP yang menuduh RoS sengaja mensabotaj mereka sedangkan keputusan RoS agar parti itu mengadakan pemilihan semula CEC adalah berdasarkan perlembagaan parti tersebut sendiri.
“Jika DAP tidak berpuas hati dengan keputusan RoS itu mereka boleh membawa masalah itu ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jumaat lepas, Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohammad Razin Abdullah dilaporkan berkata jabatan itu akan mengeluarkan arahan meminta DAP mengadakan pemilihan semula CEC kerana RoS mendapati pelantikan 20 anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti itu hasil pemilihan semula pada 29 September 2013, adalah tidak sah dari segi undang-undang.
Menurut Mohammad Razin, pemilihan semula itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012 yang melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, keengganan DAP mengadakan pemilihan semula seolah-olah membayangkan pemimpin tertingginya takut tidak memperoleh mandat untuk terus meneraju parti.
“Apakah Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang sangat takut dan sangat khuatir mereka sudah tidak lagi mampu untuk menang cukup undi dan berada dalam kelompok 20 teratas jika diadakan pemilihan semula,” katanya.
Semalam, selepas mesyuarat tergempar DAP, Guan Eng dilaporkan berkata DAP tidak akan mengadakan pemilihan semula CEC yang baharu kerana parti itu telahpun berbuat demikian pada 29 September 2013.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan RoS selepas menerima surat rasmi daripada jabatan itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung arahan mengenai pemilihan semula CEC tersebut. - Bernama
No comments: