KOTA BHARU 21 Feb. - Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah menyifatkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terlalu pandai 'bermuka-muka' apabila cuba menarik perhatian orang Melayu dengan menyatakan parti itu mengutamakan perjuangan kaum pribumi tersebut.
Beliau berkata, keadaan itu jelas kerana Menteri Besar Kelantan tersebut tidak pernah menyesal atau menarik balik kenyataan menghina orang Melayu yang dibuatnya sebelum ini.
"Terlalu banyak penghinaan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz terhadap orang Melayu malah terlalu banyak kenyataannya bertentangan dengan ajaran Islam, perkara ini harus disedari supaya orang Melayu tidak terpedaya dengan kata-katanya.
"Dia tidak pernah menyesal dengan kenyataan yang dibuatnya, tidak pernah untuk menarik balik. Tiba-tiba hari ini keluar kenyataan bahawa Pas mengutamakan perjuangan untuk orang Melayu, untuk apa kalau bukan menarik sokongan orang Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz semalam yang mengakui perjuangan terhadap masyarakat Melayu perlu diutamakan memandangkan statusnya sebagai bangsa pribumi di negara ini.
Abdullah berkata, sekiranya benar Nik Abdul Aziz memperjuangkan hak orang Melayu dan ingin menegakkan Islam di negara ini, Pas sepatutnya bekerjasama dengan UMNO, bukannya terus bersekongkol dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Apabila DAP mengganggu-gugat hal ehwal agama Islam di Selangor dan Pulau Pinang, di mana suara Nik Abdul Aziz? Tidak kiralah ia berlaku di negeri lain, sebagai orang yang ada jawatan besar dalam parti yang kononnya memperjuangkan Islam, dia wajib bersuara.
"Kalau begitu cara Pas untuk menegakkan Islam, lebih baik cara UMNO, biarpun tidak ada perkataan Islam pada nama parti itu tetapi jelas selama 50 tahun UMNO telah sedaya upaya menyebarkan Islam di negara ini, lihat pondok-pondok dan sekolah agama terus berkembang tidak ada sebarang halangan malah ditubuhkan agensi atau jabatan khusus untuk menjaga hal ehwal Islam dengan peruntukan yang besar," katanya.
Katanya, sebagai contoh, Nik Abdul Aziz tidak membenarkan sambutan Maulidur Rasul di negeri ini kerana menganggapnya bidaah sedangkan ulama-ulama di seluruh dunia berpendapat ia wajar disambut secara besar-besaran bagi mengingati sirah Rasulullah SAW dan sebagai pengajaran kepada umat Islam hari ini.
"Apakah Nik Abdul Aziz boleh memberikan jaminan bahawa apabila Pas bersama DAP dan PKR memerintah, agama Islam dapat dipertahankan? Lihat saja di Selangor, Exco DAP boleh mengganggu hal ehwal Islam, di Pulau Pinang sudah ada Exco untuk agama lain.
"Apakah kita lupa kata-kata Karpal Singh tentang hasrat Pas untuk melaksanakan dasar Islam di negara ini, lebih malang ada pula pemimpin Pas sanggup memberi nyawa mempertahankan Karpal," katanya.
Pada masa sama, beliau yang juga ahli Pas yakin parti itu tidak akan melaksanakan dasar perjuangannya untuk menegakkan Islam sekiranya memerintah kerana ia telah dibuang ke tepi dan menjadikan kuasa atau kemenangan pada pilihan raya sebagai matlamat utamanya.
"Nik Abdul Aziz sememangnya berbohong apabila mengatakan tujuan Pas bekerjasama dengan DAP adalah untuk berdakwah. Pas tidak pernah berdakwah kepada DAP, Pas hanya menjadi pengikut DAP," katanya.
Terima kasih UTUSAN ONLINE
No comments: