» » AFUNDI masuk Azmin ???

CERITA mencari pemenang berdasarkan populariti dalam rancangan realiti televisyen bukan sesuatu yang baru.

Rancangan The Bachelor, The Apprentice, America's Next Top Model dan The Biggest Loser merupakan antara siaran realiti televisyen berasaskan populariti paling tinggi ditonton masyarakat dunia kebelakangan ini.

Di negara kita sendiri ,rancangan Maharaja Lawak dan Super Spontan selain paling tidak boleh dilupa siaran mencari bakat nyanyian ,Akademi Fantasia (AF) yang diperkenalkan sejak 2003 sehingga terakhir pada 2011 menjadi bukti populariti menjadi asas ukur seseorang pelajar untuk menjadi pemenang yang dipilih penonton.

Paling menarik dalam setiap musim AF, ada segmen 'AFundi masuk' - ia menjadi talian hayat seseorang pelajar sudah terkeluar namun dirasakan masih popular untuk terus bersaing dalam pusingan akhir pertandingan. 

Sejarah AFundi masuk dalam AF sendiri membuktikan Asmawi Ani atau Mawi dan Ahmad Shahir Zawawi (Shahir) antara pelajar popular yang diundi masuk semula sekali gus memenangi pertandingan itu.

Di Selangor, pengumuman pelantikan semula Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menjadi Menteri Besar (MB) untuk penggal kedua tidak mengejutkan.

Apa yang mengejutkan cuma kenyataan Khalid yang tidak menjemput wakil rakyat Selangor untuk menghadiri majlis angkat sumpahnya dengan alasan mengelakkan masalah ketidakhadiran.

Saya terdetik,apakah alasan itu benar-benar jujur atau wakil rakyat pakatan rakyat (PR) sendiri sebenarnya memang tidak mahu hadir? - saya cuma menimbulkan keraguan.

Masakan tidak, insiden yang ditimbul Ahli Parlimen Gombak, beberapa hari sebelum hari angkat sumpah MB masih bermain-main di fikiran - tidak boleh dilupakan begitu sahaja.

Walau menafikan mahu jawatan MB, Azmin sebenarnya popular di kalangan wakil rakyat PR dan masyarakat Selangor sendiri.

Saya akui kerja kerasnya di Selangor selama ini meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat.

Saya sendiri yang tinggal di kawasan Parlimen P98 Gombak dapat merasa tempias naik taraf infrastruktur cetusan Azmin. Perubahan demi perubahan serta pelbagai fasiliti baru terutama kepada golongan muda melihat kemenangan Azmin dengan majoriti 4,734 pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

''YB di sini banyak buat dialog dengan anak-anak muda. Kita minta padang futsal,dia buatkan, kita minta program bercorak keremajaan,dia aturkan.

''Menariknya kadang-kadang dia sendiri turun bermain futsal dan Azmin banyak penuhi jemputan masyarakat di sini walau kita tahu dia sangat sibuk,'' ujar seorang anak muda di Gombak.

Konsep populariti yang diperkenal dan diheboh PR pasca PRU ke-13 kepada rakyat secara peribadi saya rasa harus diaplikasi dalam kes MB Selangor ini.

Perlu diingat, Azmin sendiri pada sidang media khasnya pada 10 Mei lepas mengambil petikan al-Quran Surah Assura ayat 38 yang bermaksud : Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka.

Ketegasan Azmin dalam isu pemilihan MB Selangor - lantas luahan kekecewaan dalam proses memilih MB yang tidak dibincang sesama wakil rakyat PKR terutamanya sekali gus hujah majlis tertinggi parti mengetepikan ayat al-Quran dalam isu ini harus dipandang serius!

Saya dapat rasa retak-retak halus yang timbul akhir-akhir ini bakal menjadi semakin besar dalam masa dua minggu sebelum pengumuman exco baru negeri.

Lebih-lebih lagi Khalid sendiri masih berahsia status wakil rakyat popular Selangor, Azmin - adakah akan dilantik sebagai exco atau 'duduk diam-diam' di Gombak dan Bukit Antarabangsa.

Melihat pelbagai rapat umum dan demonstrasi anjuran PR yang menuntut PRU diadakan semula dengan alasan keputusan undi popular yang diperoleh mereka harus dipanjangkan dalam memilih MB Selangor antara Khalid atau Azmin.

Jika Azmin menjadi MB Selangor, pasti ilmu politik yang dipraktisnya di Gombak dan Bukit Antarabangsa dapat diperluaskan di seluruh negeri Darul Ehsan ini - lagipun dia dikatakan calon paling popular di negeri ini.

Dan Khalid sendiri tidak boleh dilupa dengan dilantik sebagai Penasihat Ekonomi negeri lebih-lebih lagi dia merupakan tokoh korporat yang dikagumi ramai - lebih popular jika bersetuju dengan bayaran RM1 sebulan.

Anwar sendiri mungkin boleh terus menumpu kepada misinya menjadi Perdana Menteri dengan undi popular rakyat.

Mungkin Azmin boleh jadi macam Mawi atau Shahrir yang akhirnya jadi juara AF musim masing-masing.

Jom kita ikut teori AF;

''Saya AFundi masuk Azmin Ali"

About Unknown

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply