» » Penyajak tersohor Terengganu maut dalam kemalangan. ..

Terengganu kehilangan sebutir permata setelah penggiat seni tempatan terkenal dari Kumpulan Kesenian Uraong Ulu atau Ke Ulu, Ibrahim Mohd Taib, 54, maut dalam nahas jalan raya, di sini, kira-kira jam 11.45 pagi semalam.

Ibrahim yang dikenali sebagai Pok Him Orang Ulu atau mesra disapa Abah, meninggal di lokasi kejadian setelah cedera parah di bahagian kepala sebelum berjaya dikeluarkan daripada tempat duduk pemandu oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang.

Kejadian di Kilometer 38 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang (Batu 23) itu, dipercayai berlaku apabila kereta Gen2 dipandu Rosman Abd Rasul, 24, dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuala Berang terbabas ke sebelah kanan lalu melepasi pembahagi jalan.

Akibatnya, kenderaan dipandu Rosman yang berasal dari Tanah Lot Batu 18 itu masuk ke laluan bertentangan, lalu melanggar Perodua Kancil dipandu Ibrahim dari arah Kuala Berang-Ajil sehingga menyebabkan kereta Ibrahim melambung dan tersangkut atas pengadang jalan.

Pintu kereta rosak

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, PBK II Mayudin Mohd memaklumkan, pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kereta.

“Pihak bomba menerima panggilan jam 12.10 tengah hari dan bergegas ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota. Sebaik tiba, mangsa telah pun meninggal dunia setelah cedera parah di kepala.

“Mangsa bukannya tersepit di tempat duduk pemandu sebaliknya pintu kereta alami kerosakan hingga tidak dapat dibuka. Pihak bomba dan penyelamat berjaya keluarkan mangsa dalam tempoh lima minit operasi dijalankan.

“Mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu, manakala difahamkan pemandu kereta Gen2 terbabit dihantar ke hospital oleh orang awam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Aura tersendiri

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di tempat insiden mendapati orang ramai khususnya kenalan mangsa turut berada di lokasi kejadian dan lalu lintas dari arah Kuala Berang-Kuala Terengganu terkawal dengan bantuan anggota cawangan trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu.

Ibrahim mula memimpin Ke Ulu mulai 1995 dan merupakan seorang insan yang mempunyai aura tersendiri serta mampu membuatkan orang tersenyum serta ketawa tatkala mendengarnya mendeklamasikan sajak dalam loghat Hulu Terengganu.

Kemampuan serta bakat Ibrahim tidak perlu dipertikaikan lagi, selain diundang untuk hiburkan tetamu dengan sajak loghat Ulu, beliau juga banyak menjayakan pementasan teater bukan sahaja di peringkat daerah dan negeri tetapi juga kebangsaan.

Malah, karya teaternya bertajuk Uraong Ulu Hatinya Luke Lagih turut dinobatkan memenangi tempat ketiga Festival Teater Malaysia 2006 dan antara karyanya yang lain ialah Wok, Mok Nok Balaik, Balaiklah Wok serta Uraong Ulu Hatinya Sumbing.

Ibrahim yang tinggal di Perumahan Awam Kos Rendah Ajil meninggalkan seorang balu, Hasnah Hussain, 51, serta empat anak yang masing-masing berusia 22, 21, 17 serta 9 tahun.

Tidak ada perubahan

Anak ketiga Ibrahim, Mohd Nazrin ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik, Hospital Hulu Terengganu berkata, bapanya kelihatan seperti biasa sewaktu di rumah dan tiada apa yang berubah.

“Kali terakhir bertemunya sewaktu hendak ke sekolah dan abah tetap macam biasa seorang yang mesra tetapi tegas dengan anak. Saya mendapat tahu tentang kemalangan ini setelah dihubungi emak.

“Walaupun di rumah abah tidak bersajak, namun saya tahu abah dikenali ramai kerana sajaknya dalam loghat Orang Ulu,” katanya.

Jumpa dua malam lepas

Sementara itu, seorang ahli Ke Ulu, Mohd Yusof Mustapha, 39, dari Jalan Dato Amar, Ajil berkata, pemergian Abah ibarat kehilangan sesuatu benda berharga, apatah lagi arwah merupakan seorang insan yang bersungguh-sungguh mengetengahkan loghat Ulu.

“Saya mula rapat dengan Abah sekitar 2004 setelah bergiat dengan teater bersama-sama Ke Ulu. Kali terakhir kami berjumpa ialah dua malam lepas di sebuah kedai makan.

“Ketika itu, kami banyak bincangkan projek terbaru Ke Ulu termasuk membawa semua ahli kumpulan Ke Ulu ke Tasik Kenyir. Tidak sangka, rupanya itu pertemuan kami yang terakhir dan ketika itu juga Abah sama seperti biasa,” katanya.

- SUMBER raktra

About Unknown

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply