Bimbang dikenakan tindakan tegas oleh majikannya, seorang pekerja kedai jahit di Desa Mentari, Petaling Jaya, menyogok wang RM200 kepada seorang pelanggan wanita sebagai upah tutup mulut selepas dia meramas payudara mangsa, baru-baru ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang juga operator pengeluaran berusia 29 tahun diramas payu daranya beberapa kali oleh lelaki terbabit ketika sedang diambil ukuran tubuh pada jam 12 tengah hari.
Menurut sumber, mangsa datang ke kedai jahit itu untuk mengecilkan dua uniform kerja sebelum seorang pembantu tukang jahit yang juga lelaki warga Bangladesh diarahkan mengambil ukuran badannya.
“Ketika mengambil ukuran kali pertama di bahagian dada, lelaki terbabit menekan payudara, tetapi mangsa tidak mengendahkan kerana beranggapan perbuatan itu tidak disengajakan.
“Perbuatan sama berlaku ketika ukuran kali kedua dibuat menyebabkan mangsa menegur lelaki terbabit,” katanya.
Katanya, ketika wanita berkenaan berpusing untuk menoleh ke belakang secara tiba-tiba lelaki terbabit meramas payu dara mangsa dua kali.
“Tindakan biadab itu menyebabkan mangsa terkejut dan memarahi lelaki terbabit. Malah, mangsa turut meminta lelaki itu memanggil pemilik kedai jahit berkenaan untuk membuat aduan.
“Bagaimanapun, lelaki terbabit yang ketakutan dan khuatir dibuang kerja terus meminta maaf kepada mangsa dan memujuknya supaya tidak membuat aduan sebelum menawarkan wang RM200,” katanya.
Sumber berkata, mangsa enggan menerima wang berkenaan kerana mahu mempertahankan maruahnya sebelum membuat aduan di Pondok Polis Taman Medan.
No comments: