» » Polis Tahan Empat Penyamun Menyamar Penjawat Awam

GEORGE TOWN: Polis menahan empat lelaki terlibat dalam lapan kes samun dengan menyamar sebagai penjawat awam dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Daerah Timur Laut dan Barat Daya, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata suspek berkenaan telah menyamun sebuah kedai menjual telefon bimbit di Jalan Osman Kadir Lat sehari sebelum mereka ditahan.

Lelaki berusia antara 17 dan 27 tahun itu ialah memperkenalkan diri sebagai polis dan memberi alasan mahu memeriksa premis berkenaan sebelum menggari dua pekerjanya.

"Mereka kemudiannya melarikan 11 telefon bimbit dan wang tunai. Bagaimanapun kesemua wajah lelaki terbabit dirakam jelas menerusi CCTV.

"Dua daripada suspek ditahan di sebuah rumah di Sungai Dua, Gelugor, dan kita telah menemui empat helai jaket masing-masing berlogo Kementerian Dalam Negeri, Rela dan Pasukan Keselamatan Sukarela negeri," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut menjumpai 17 telefon bimbit, tiga komputer riba, 18 utas jam tangan berjenama dipercayai barangan curi selain dua walkie talkie, cemeti, gari dan teropong.

Gan berkata hasil risikan dan maklumat awam mendapati lelaki terbabit aktif dalam kegiatan itu sejak dua bulan lepas dan salah seorang suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini untuk disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Dalam kes berasingan, Gan berkata polis telah menahan seorang lelaki berusia 22 tahun terlibat dalam kes pecah rumah seorang hartawan di Taman Kristal, Pulau Tikus melibatkan anggaran kerugian sebanyak RM40,000, Khamis lepas.

Beliau berkata dalam kejadian rompakan Isnin lalu, tiga bentuk cincin berlian, lima jam tangan berjenama, dua set sistem bunyi, ang pow mengandungi wang tunai RM1,000 dan sebuah televisyen 20 inci dilapor hilang.

"Lelaki itu ditahan di rumahnya yang juga terletak di Pulau Tikus dan kita berjaya menemui sebahagian barangan yang telah dicurinya," katanya.

Katanya suspek ditahan reman sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan. BERNAMA

About Street Writer

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply