» » Pertukaran Menteri Besar Terengganu...???

Ura-ura pertukaran jawatan tiga orang Menteri Besar sudah mula diperkatakan walaupun sebelum ini, sekurang-kurangnya dua nama telah dinaikkan iaitu Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said dan Menteri Besar Pahang bagi pertukaran.

Antara faktor-faktor penyebab kepada pertukaran tersebut adalah pertelingkahan dalaman yang menyaksikan cantasan dan tikam belakang berlaku di kalangan sesama sendiri sehingga mengakibatkan prestasi UMNO dan Barisan Nasional di negeri masing-masing berada pada tahap paling rendah.

Namun apa yang berlaku sebenarnya adalah sikap iri hati, dengki dan tamak haloba, merupakan perkara paling penting dalam proses pertukaran ini.

Kita ambil contoh Terengganu.

Memang benar pada tahun 2004, Terengganu di bawah Idris Jusoh berada di puncak dengan kemenangan besar yang telah menyapu PAS keluar dari pentadbiran negeri. Namun apa yang berlaku selepas itu amat menyedihkan. Walaupun banyak pembangunan dan rancangan ekonomi telah dibuat oleh Idris Jusoh, namun pada masa yang sama, segala perancangan tersebut turut datang bersama-sama liabiliti yang boleh meruntuhkan negeri itu sendiri.

Perlantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Idris Jusoh pada mulanya mendapat tentangan daripada ADUN-ADUN BN Terengganu yang sudah biasa makan dan dimanjakan di tangan Idris Jusoh. Bagaimanapun, tentangan dilihat sedikit reda kerana masing-masing begitu takut tidak terpilih sebagai calon pada PRU-13.

Senarai nama-nama calon PRU-13 Terengganu akhirnya menunjukkan bahawa percaturan di Terengganu sebenarnya lebih merugikan berbanding keinginan untuk menguasai negeri tersebut. Perubahan pada saat-saat akhir dan ketiadaan kuasa pada Menteri Besar Terengganu yang merupakan Pengerusi Perhubungan Negeri, menunjukkan bahawa ada pihak yang masih bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar negeri itu.

Pertelingkahan itu masih berpanjangan sehingga sekarang. Individu berkenaan menggunakan kesempatannya rapat dengan Perdana Menteri untuk 'memberi nasihat' tentang penyingkiran Mat Said yang dikatakan tidak mampu menyatukan UMNO Terengganu.

Sementara itu, Mat Said telah membuktikan yang dia merupakan seorang Menteri Besar Terengganu yang jauh lebih baik berbanding Menteri Besar yang digantikannya sebelum itu. Banyak lialibiti dan masalah yang dicipta oleh Menteri Besar sebelumnya telah diselesaikannya terutama sekali membabitkan pembaziran besar wang rakyat Terengganu menerusi projek-projek yang dicipta untuk para kroni dengan sebut harga yang amat tinggi dan tidak munasabah, dan pada masa yang sama, projek-projek tersebut tidak memberi faedah langsung kepada rakyat Terengganu, terutama sekali membabitkan BUMBUNG RUNTUH.

Dengan pelbagai program yang diwujudkan oleh Mat Said untuk rakyat Terengganu, negeri itu sebenarnya memerlukan seorang Menteri Besar yang tidak terlalu mengejar populariti politik sebaliknya memberikan keselesaan dan mewujudkan kesejahteraan selain menukar status rakyat Terengganu menerusi mutu pendidikan, kecekapan infrastruktur, berpendapatan tinggi menerusi pelbagai peluang pekerjaan dari pelbagai sektor industri dan pelancongan. Dan Mat Said sudah membuktikan bahawa dialah Menteri Besar tersebut.

Benih yang disemai oleh Mat Said sekarang ini sudah mula menampakkan hasil. Namun penghasilannya itu dicacati dengan perbuatan khianat dan tamak haloba pemimpin tertentu di Terengganu. Percaturan politik pada PRU13 yang memintas kuasa Mat Said, ditunjukkan dengan jelas menerusi senarai nama-nama calon UMNO-BN di Terengganu yang akhirnya menyaksikan calon-calon yang kebanyakannya berkiblatkan Idris Jusoh itu tertonggeng dan kalah memalukan.

Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO barangkali tidak perlu terlalu singkat fikiran untuk melihat faktor lain yang menyebabkan Mat Said dicemburui. Kekurangan pada Mat Said ialah, dia tidak mampu berselindung di sebalik kaum kroni yang sentiasa angguk dan menjilat dengan mengharapkan projek dan limpahan duit ringgit seperti yang berlaku sebelumnya. Keburukan Mat Said sebenarnya diwujudkan dan dijelmakan serta diperbesar-besarkan oleh golongan yang mengharapkan tuan besar mereka kembali menjadi Menteri Besar Terengganu dan mereka kembali bersenang lenang seperti sebelumnya, walaupun pada masa yang sama, mengorbankan UMNO dan Barisan Nasional Terengganu.

Bukan penyingkiran Mat Said yang diperlukan sebaliknya Perdana Menteri perlu menyingkirkan golongan yang bertindak seperti gunting dalam lipatan di Terengganu. Bukan kisah penyatuan dan tentangan UMNO terhadap Mat Said yang perlu diambilkira sebaliknya yang perlu diambilkira ialah motif mereka yang gemar memalsukan cerita tentang kegemilangan diri sendiri. Malah Perdana Menteri sendiri seharusnya mengambil kira program-program yang diatur dan dirancang oleh Mat Said yang memberi kebaikan kepada rakyat secara keseluruhannya, bukannya termakan dengan pembohongan golongan yang beli barang dengan harga seringgit tetapi membuat tuntutan balik pada harga RM1000.

Dan yang pastinya, Perdana Menteri dan Presiden UMNO juga perlu mengambil kira tentang peranan DYMM Sultan Terengganu seandainya Perdana Menteri masih termakan dengan cakap-cakap daripada golongan haloba di Terengganu yang mahu menyingkirkan Mat Said dan menduduki jawatan yang disandang Mat Said sekarang.


About Unknown

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply