» » Timbalan Menteri Besar untuk PAS?


Dua daripada beberapa persoalan besar yang timbul akibat krisis pergolakan di dalam pakatan pembangkang dan perebutan jawatan Menteri Besar (MB) Selangor sudah terjawab. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk terus memegang jawatan MB dan beliau bukan lagi ahli PKR.

Buat masa ini, kita sedang menunggu jawapan kepada beberapa lagi persoalan besar tentang masa depan Abdul Khalid dan politik pakatan pembangkang. Antaranya:

1. Apakah Abdul Khalid akan masuk parti PAS?

2. Apakah akan berlaku undi tidak percaya terhadap kepimpinan Abdul Khalid?

3. Apakah epilog krisis ini akan berakhir dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kemudiannya pilihan raya negeri?

Pakatan pembangkang terutamanya PKR tampak sangat goyang dan terdesak apabila mereka menekan Abdul Khalid untuk membuktikan sokongan majoriti dalam DUN se­perti yang beliau maklumkan ketika menghadap Sultan Selangor.

Abdul Khalid tidak mungkin akan akur dengan cabaran PKR dan DAP itu dalam masa terdekat. Ini adalah strategi politik yang memang dijangka.

Jika Abdul Khalid termakan dengan cabaran tersebut, ADUN-ADUN pakatan yang didedahkan nama itu sudah pasti dikepung, ‘dikuarantin’, dipujuk dengan apa sahaja yang patut supaya mereka kembali kepada keputusan DAP dan PKR.

Dan apakah kenyataan PKR yang mendakwa, ‘kenyataan Abdul Khalid kepada pihak istana itu meragukan’ itu secara tidak langsung turut mempertikaikan pertimbangan dan kebijaksanaan Sultan Selangor?

Logiknya, Sultan Selangor sendiri pasti tahu perkara yang sebenarnya berlaku di dalam krisis perebutan jawatan MB. Malah, penggunaan perkataan ‘meragukan’ yang dilontarkan oleh PKR dan DAP itu juga se­perti membuktikan bahawa mereka sebenarnya tidak yakin dengan pendirian ADUN-ADUN mereka sendiri.

Dan semakin banyak kenyataan daripada kepimpinan tertinggi DAP dan PKR tentang isu Abdul Khalid, semakin yakin pula kita bahawa pakatan pembangkang sebenarnya tidak mempunyai cukup sokongan daripada wakil rakyat mereka sendiri.

Sebelum ini, Roketkini melaporkan bahawa DAP telah mengisytiharkan sokongan penuh cadangan PKR untuk menggantikan Abdul Khalid dengan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai MB Selangor.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan, kesemua 15 ADUN DAP Selangor juga telah menyatakan sokongan kepada cadangan tersebut. Yang menimbulkan persoalan ialah kenapa Lim Kit Siang masih mahu 15 ADUN DAP menyatakan pendirian mereka tentang Abdul Khalid?

Laporan memetik Penasihat DAP itu berkata, pendirian 43 ADUN pakatan itu ‘penting dan mustahak’ apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sokongan 12 ADUN Barisan Nasional (BN) kepada Abdul Khalid. Dan sama ada BN menyokong atau tidak Abdul Khalid, ia bukan sesuatu langkah politik yang mengejutkan dan mustahil tidak difikir dan tidak dibincangkan oleh CEC DAP atau pun PKR sebelum ini.

Ironinya sebelum ini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh boleh melakukan perkara mudah untuk membersihkan nama beliau dengan bersumpah muhabalah dan menunjukkan jam Omega beliau tetapi tidak dilakukan. Dan dalam isu MB Selangor, Anwar sebenarnya boleh melakukan perkara yang sama tetapi tidak dilaksanakan sehingga ke hari ini.

Anwar boleh mulakan dengan menghimpun kesemua 28 ADUN DAP dan PKR di dalam sidang akhbar. Dan ADUN-ADUN itu sendiri menyatakan pendirian tidak menyokong Abdul Khalid secara terbuka depan orang ramai. Tambahan pula, PKR dan DAP yang dahulu mengatakan mereka mendapat sokongan padu daripada ADUN-ADUN mereka. Maka mereka patut buktikan dakwaan itu.

Penulis pasti, tidak ada alasan bagi mana-mana ADUN DAP dan PKR untuk tidak hadir di sidang akhbar tersebut kerana ia melibatkan maruah parti, Anwar dan isterinya, Wan Azizah.

KJ1

ADUN Pas Selangor yang mungkin tidak setuju dengan keputusan Majlis Syura PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang juga patut hadir untuk membuktikan kepada rak­yat bahawa Abdul Khalid telah berbohong kepada Sultan Selangor.

Political mileage yang bakal diperolehi oleh Anwar dan pakatan pembangkang adalah sangat besar dan Sultan Selangor sudah pasti murka. Tetapi hairan, perkara semudah ini pun tidak dilakukan oleh Anwar sehingga ke hari ini. Kenapa?

Dalam masa sama, tindakan Anwar berjumpa Abdul Hadi di Terengganu juga me­nimbulkan persoalan. Jawatan MB tidak mungkin ditawarkan kerana DAP tidak akan setuju jika jawatan tersebut diberi kepada PAS.

1. Apakah Anwar cuba meyakinkan Abdul Hadi bahawa terdapat ADUN PAS Sela­ngor yang menyokong beliau?

2. Apakah ia tentang penambahan bilangan Exco negeri dan portfolio-portfolio penting di dalam kerajaan negeri?

3. Atau pun PAS ditawarkan jawatan yang lebih tinggi seperti Timbalan Menteri Besar yang akan dibentuk untuk memancing parti tersebut?

Jika benar, Abdul Khalid sudah tentu dapat membaca strategi politik itu dan sebagai MB yang masih sah, beliau sendiri boleh menawarkan jawatan Timbalan Menteri Besar dan portfolio-portfolio penting kepada PAS selagi ia mematuhi Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri Selangor.

Dan sehingga ke hari ini, kita masih me­nunggu pendirian kesemua Exco Kerajaan Negeri Selangor sedia ada tentang Abdul Khalid. Mereka terdiri daripada empat ADUN PAS, tiga ADUN PKR dan tiga ADUN DAP.

Pihak kepimpinan pusat DAP dan PKR telah menyatakan pendirian bahawa Exco-Exco mereka tidak akan meletakkan jawatan Exco negeri. Majlis Syura PAS, Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi turut menyatakan pendirian mereka. Tetapi pendirian sebenar parti PAS hanya akan diputuskan pada 17 Ogos ini setelah ditunda dua kali sebelum ini.

Ironinya, portal propembangkang, The Malaysian Insider yang baru disaman oleh Abdul Khalid melaporkan kenyataan Setiausaha Agung DAP bahawa Abdul Khalid tidak lagi mendapat mandat demokratik dan tidak layak sebagai menteri besar selepas penyingkiran daripada PKR.

Apakah Lim Guan Eng tidak sedar bahawa jawatan beliau sebagai Setiausaha Agung DAP itu juga dipertikai ‘tidak demokratik’ kerana beliau jatuh ke tangga kelima dan undi popular yang merosot semasa pemilihan semula CEC DAP?

Walau apa pun, kemelut perebutan jawatan MB Selangor telah membuka pekung busuk kepimpinan PKR dan DAP. Ia juga te­lah membuka mata rakyat tentang wayang kulit pakatan pembangkang yang selama ini dikaburi dengan lakonan mantap yang kononnya tidak mengamalkan kronisme atau pun tidak menyeleweng kuasa.

Realitinya, merekalah pengamal kronisme yang melampau dan gila kuasa.

Oleh DR. NOVANDRI HASSAN BASRI, penulis ialah penganalisis politik.

About Street Writer

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply