Dua rakan dihukum gantung
ALOR SETAR 27 Okt. - Dua lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin seberat 33.8 gram dan 48.6 gram monosetil morfin dua tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nasir Sahimi, 35, dan Mohd Mazwan Abd Aziz, 34, setelah mendapati keterangan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
"Saya telah mempertimbangkan keterangan pembelaan dan mendapati ia hanyalah penafian semata-mata," katanya di sini hari ini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu secara bersama di hadapan Restoran KFC, Jalan Teoh Moh Sii, Kulim pada 14 Jun 2012 pukul 1.15 tengah hari.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naizatul Zima Tajudin, manakala Mohd Mazwan diwakili peguam RSN Rayer dan Mohd Nasir diwakili T. Jayaraj. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/dua-rakan-dijatuhi-hukuman-gantung-sampai-mati-1.17327#sthash.MUz2hjTp.dpuf
No comments: