» » SJKC - MCA buat laporan polis


Seperti dijangka, MCA buat laporan polis apabila Timbalan Ketua Pemuda UMNO PJ Utara membuat usul agar SJKC dimansuhkan di seluruh negara. Baik DAP mahupun MCA yang kebanyakan daripada pemimpinnya bersekolah kebangsaan, amat kuat mempertahankan kewujudan SJKC.

Berdasarkan Perlembagaan Malaysia, kewujudan SJKC dibenarkan tetapi SJKC tidak seharusnya mendapat pembiayaan kerajaan. SJKC sepatutnya berdiri atas kaki sendiri dengan lembaga pengelola yang bertindak sebagai ahli lembaga pengarah syarikat mengendalikan segala urusan perbelanjaan, pengurusan dan pentadbiran sekolah berkenaan.

Namun kesilapan besar kerajaan sendiri yang mencabul peruntukan perlembagaan ialah apabila mulai memberikan bantuan-bantuan termasuklah menjadikan sebahagian SJKC sebagai sekolah kerajaan, menyebabkan kewujudannya semakin diperkukuhkan dan mereka semakin besar kepala.

Berdasarkan sejarah, pada tahun 1971, Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Melan Abdullah telah didapati bersalah mengeluarkan rencana pengarang bertajuk, 'HAPUSKAN SEKOLAH BERALIRAN TAMIL ATAU CINA DI NEGERI INI.'

Manakala pada tahun 1978, Ahli Parlimen dari Sabah, Mark Koding telah didapati bersalah kerana meminta penutupan sekolah-sekolah Cina dan Tamil di Dewan Rakyat.

2008, Mukhriz Mahathir telah diadukan kerana turut mengusulkan isu yang sama di Dewan Rakyat ketika dalam satu perbahasan. Bagaimanapun, isu tersebut ditutup begitu sahaja apabila Mukhriz Mahathir menerangkan maksud ucapannya yang kurang difahami oleh pemimpin-pemimpin DAP yang datang dari aliran SJKC seperti Teresa Kok.

Semalam, Setiausaha Agung Pemuda MCA Pusat, Leong Kim Soon telah membuat laporan polis kerana usul yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda UMNO Petaling Jaya Utara itu dikatakannya mempertikai serta mencabar peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada. Malah dalam laporannya juga, usul tersebut merupakan penafian ke atas hak masyarakat Cina sebagai rakyat Malaysia yang berhak untuk mendapat pendidikan bahasa ibunda masing-masing.

Alasan-alasan yang sama masih diberikan walaupun sepatutnya pembelajaran bahasa selain Bahasa Kebangsaan boleh dibuat di sekolah-sekolah kebangsaan. MCA sepatutnya menyokong kewujudan sekolah-sekolah bersepadu di mana semua kaum mempelajari bahasa kaum-kaum utama di sekolah yang sama, bukannya menerusi pengasingan sekolah yang berlaku sekarang.

SJKC dibenarkan wujud kerana anak-anak generasi pertama kaum imigran tidak berasimilasi dengan masyarakat tempatan. Selepas merdeka, Perlembagaan Persekutuan mengekalkan hak pembelajaran dan amalan bahasa ibunda masing-masing. Namun Perlembagaan Persekutuan juga tidak menegaskan bahawa pembelajaran bahasa-bahasa utama di Malaysia perlu dibuat di sekolah-sekolah yang berasingan berdasarkan ras dan kaum.

Menghapuskan SJKC atau SJKT tidak bermakna menghalang hak pembelajaran dan amalan budaya serta bahasa ibunda. Sebaliknya bahasa dan budaya tersebut boleh dipelajari secara saksama di sekolah-sekolah kebangsaan bagi memupuk lebih kefahaman dan toleransi antara generasi muda.

Malangnya, sikap mahu memecah-belahkan kaum di negara ini, lebih diminati oleh para pemimpin bagi memudahkan mereka mengekalkan kuasa, menyebabkan SJKC dan SJKT terus wujud dengan alasan yang diberikan ialah kebebasan mengamalkan bahasa dan budaya walaupun ia sebenarnya lebih positif sekiranya dipindahkan keseluruhannya ke sekolah-sekolah kebangsaan.

Ego, angkuh dan besar kepala adalah punca sebenarnya SJKC dan SJKT terus wujud di negara ini selain bimbang masyarakat lebih berasimilasi kerana perubahan itu akan menyebabkan mereka kehilangan undi dan sokongan.

About Street Writer

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply