Baling: Seorang anggota bomba yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Balik Pulau, Pulau Pinang meninggal dunia apabila skuter ditunggang merempuh belakang lori di Jalan Baling-Kulim, berhampiran Kampung Telok Perah, Kuala Pegang di sini, semalam.
Kejadian jam 1.30 petang menyebabkan mangsa, Zul Hilmi Musa, 26, yang berasal dari Kampung Batu 48 3/4, Jalan Weng di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling Deputi Superintendan Wari Kiew berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang skuter seorang diri merempuh belakang lori membawa muatan tar yang diletakkan di bahu jalan kerana tayarnya pancit.
“Siasatan awal mendapati lori berkenaan diletak di bahu jalan sejak jam 11 pagi tadi (semalam) kerana tayarnya pancit.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Musa Hassan, 58, berkata, arwah yang juga anak kedua daripada empat beradik dalam perjalanan pulang ke rumah keluarga untuk mengambil cukai jalan motosikalnya.
“Arwah ada pulang ke rumah minggu lalu, tetapi cukai jalan motosikal yang dibuat di Pengkalan Hulu, Perak masih belum siap menyebabkan dia meminjam motosikal adiknya untuk ke tempat kerja,” katanya. -HARIAN METRO
No comments: