Gambar hiasan... |
TAPAH 18 Nov. - Seorang lelaki maut selepas lori yang dipandunya dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Kilometer 328.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, malam tadi.
Nahas pada pukul 12.15 tengah malam itu menyebabkan Wong Choong Fook, 55, meninggal dunia di tempat kejadian.
Kemalangan itu turut menyebabkan penumpang pacuan empat roda, Mohamad Azlan Che Omar, 34, patah kaki kiri manakala pemandunya, Riduan Mohd. Nawi, 31, tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis daerah, Supritendan Som Sak Din Keliaw berkata, kemalangan berlaku ketika kedua-kedua kenderaan itu dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan.
Katanya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu Riduan melanggar bahagian belakang kanan lori satu tan itu yang dipandu di lorong kiri.
“Rempuhan itu menyebabkan lori yang dipandu Choong Fook terbabas dan terbalik di bahu jalan manakala kenderaan pacuan empat roda itu pula berpusing ke kanan dan berhenti arah melawan arus.
“Kemalangan itu menyebabkan pemandu lori maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat,’’ katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
No comments: