» » Tiada maaf bagimu


PUTRAJAYA - "Tiada maaf bagimu", tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap pendatang tanpa izin yang menceroboh dan ahli politik yang melindungi pencerobohan di tanah tinggi Cameron Highlands sehingga menyebabkan banjir lumpur dan tanah runtuh Rabu lepas.
   
Timbalan Perdana Menteri berkata bagi membanteras gejala yang berleluasa itu, kerajaan akan menggerakkan operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan bagi memastikan pihak terlibat segera dikenakan tindakan tegas.
   
"Satu daripada sebab kenapa perkara ini (kejadian banjir dan tanah runtuh) berlaku adalah tidak ada ketegasan dari segi pelaksanaan undang-undang dan penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggarnya.
   
"Jadi, kita telah putuskan bahawa kerajaan perlu ambil tindakan tegas dan saya telah arahkan satu operasi besar-besaran dilaksanakan bagi memastikan hal ini dihentikan segera," katanya.
   
Operasi itu akan dilakukan seberapa segera berikutan sudah ada pihak yang berani mencabar kerajaan dan agensi penguatkuasaan untuk mengambil tindakan terhadap mereka, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bencana banjir kilat dan tanah runtuh di Cameron Highlands di bilik operasi Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini hari ini.

Berhubung dakwaan aktiviti pencerobohan oleh pendatang asing itu dilindungi 'orang politik', Muhyiddin berkata ia tidak boleh dijadikan alasan untuk penguatkuasaan undang-undang dikecualikan terhadap mereka.
   
"Bagi saya sama ada ia politik atau bukan politik, yang penting alam sekitar tidak boleh terus dimusnahkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
   
"Kita tidak bimbang, kita tak kisah. Kita perlu ambil tindakan terhadap siapa saja yang melindungi. Orang sebegini kalau terbukti mereka itu adalah antara dalang-dalang, tindakan dari segi undang-undang boleh diambil," katanya.
   
Timbalan Perdana Menteri berkata apa yang penting bagi kerajaan ialah alam sekitar perlu dijaga dan keselamatan penduduk di kawasan terlibat perlu diutamakan melebihi kepentingan lain.
   
Kejadian banjir dan tanah runtuh di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di Cameron Highlands pada Rabu lepas, mengakibatkan lima kematian dan lebih 90 mangsa daripada 28 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet. - Bernama

About Street Writer

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply