Bagaimanapun hasil ekspedisi kumpulan penyelidik Jabatan Mineral dan Geosains bersama wakil dari beberapa institusi pengajian tinggi tempatan itu masih belum didedahkan kepada umum agar kerja-kerja penyelidikan tidak terganggu atau diceroboh.
Menurut petikan Utusan Malaysia , kajian lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti spesies haiwan yang lenyap beratus juta tahun lalu.
Menurut sumber, penemuan cukup bermakna berkenaan membuka dimensi baharu dalam dunia penyelidikan yang tentunya amat menggembirakan para saintis terutama ahli-ahli kaji bumi setelah pencarian sekian lama bagi mengesahkan bumi Semenanjung ini pernah dihuni haiwan berkenaan.
Pun begitu sumber itu enggan mendedahkan bentuk fosil dan sama ada dalam skala yang besar atau lebih lengkap berbanding hanya sebatang gigi yang ditemui oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Malaya dan dua buah universiti di Jepun pada 2013 di Pahang.
“Tetapi ini suatu penemuan bersejarah dan memberi impak yang besar dalam dunia penyelidikan tentang bumi kita, untuk penerokaan lebih luas terhadap proses alam masa lampau yang membawa perubahan kepada masa kini dan akan datang,” ujarnya ketika dihubungi di sini.
Beberapa dekad lalu, dunia penyelidikan dinosaur pernah digemparkan dengan penemuan fosil dinosaur terbesar berusia 150 juta tahun di Khon Kaen, Thailand dalam bentuk tulang femur kiri.
Lokasi Khon Kaen yang mempunyai batuan berusia Jura Kapur mempunyai persamaan dengan Gunung Panti di Johor dan Gunung Gagau yang merupakan titik sempadan negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Di negara ini, fosil gigi peninggalan dinosaur dari spesies spinosaurid (semi akuatik), merupakan peninggalan pertama hidupan yang ditemui di satu kawasan hutan yang dirahsiakan.
Awal tahun ini, Jabatan Mineral dan Geosains mendedahkan penemuan fosil tumbuhan kuno berusia antara 270 dan 340 juta tahun berhampiran kawasan projek pembinaan Empangan Paya Peda, Hulu Besut yang membawa kemungkinan kewujudan haiwan berkenaan.
Kejayaan itu terus memberi rangsangan kepada ahli kaji bumi untuk melakukan usaha pencarian kerana negara ini mempunyai beberapa tempat batuan berusia Jura Kapur antara 65 juta dan 203 juta tahun yang sesuai untuk haiwan itu hidup di sini.
Sejak 1974, ekspedisi kajian di beberapa kawasan di Semenanjung bagi mencari sumber warisan geologi dijalankan termasuk di Sungai Cincin di negeri ini, namun hanya menemui fosil flora dan fauna. -sumber
No comments: