Sekumpulan ahli PAS hari ini menganjurkan perhimpunan di hadapan ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur mendakwa Pengarah Pilihan Raya, YB. Dr. Mohd Hatta Ramli menjadi dalang kepada usaha menggulingkan Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
Kumpulan yang diketuai Ketua Pemuda PAS Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim itu menuntut Dr Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai agar meletakkan jawatan kerana cuba menggulingkan Presiden.
Dengan menaikkan kertas pemidang tertulis "pecat Hatta dan konco-konco" dan "kami dikhianati Hatta Ramli", mereka berhimpun menyambut ketibaan pimpinan PAS yang akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa pusat hari ini.
Pakatan Rakyat (PR) dijadualkan akan bermesyuarat petang ini dan pimpinan ketiga-tiga parti PKR, PAS dan DAP akan hadir ke ibu pejabat parti Islam itu petang ini.
Semalam Norzalilafadli menjemput media untuk hadir hari ini bagi menyerahkan memorandum terbuka bagi mendesak seorang ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat meletakkan jawatan.
Katanya ianya bertujuan mendedahkan nama dan bukti gerakan konspirasi menjatuhkan presiden PAS dan kepimpinan ulama.
Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik antara yang berucap dalam pehimpunan menuntut Dr Hatta meletakkan jawatan.
Ketika Dr Hatta berhempas pulas di Kuala Krai untuk membantu mangsa banjir di kawasannya, kumpulan ini mendesaknya meletakkan jawatan.
Hadi dijangka akan mempengerusikan mesyuarat PAS Pusat pagi ini.
Dr Hatta pernah terlibat dalam mesyuarat pertama Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) 31 Ogos tahun lepas di Kota Baru, Kelantan.
| SEBARKAN |
No comments: