» » DAP MAHU TAWAN NEGERI SEMBILAN


Penulis Koh See Kien pula menulis dalam akhbar Nanyang Siang Pau mengenai hasrat DAP untuk menawan Negeri Sembilan.
Artikel bertajuk “DAP merisik pemerintahan di Seremban” disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuan Lun pada halaman A14, 28 Mac 2011.

Pada 18 Mac lalu, DAP meraikan ulang tahun penubuhannya kali ke-45 di Seremban, Negeri Sembilan. Mereka mengadakan majlis makan malam secara besar-besaran yang amat luar biasa. Ia juga bertujuan memberitahu ahli-ahli bahawa Seremban adalah kubu kuat parti itu.
Tarikh itu dipilih kerana pendaftaran DAP diluluskan pada 18 Mac 1966 di Seremban. Langkah itu dibuat setelah parti asal iaitu PAP dianggap tidak sah untuk menjalankan sebarang kegiatan politik di negara ini setelah Singapura keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Setelah DAP diluluskan dengan bunga sakura sebagai lambang parti, ia mempunyai satu kerusi Parlimen di Bangsar (yang ditandingi Devan Nair atas tiket PAP pada Pilihan Raya Umum 1964) dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan (yang ditandingi calon Bebas, Chen Min Sin pada pilihan raya kecil 1965).

Selepas pendaftaran DAP, Min Sin menjadi Pengerusi parti itu tanpa bertanding dan Devan Nair sebagai Setiausaha.
Saya ingat kembali kisah silam ini, kerana di Seremban bukan sahaja menjadi tanah suci kepada DAP, malah di situ juga bermulanya Parti Demokratik Bersatu (UDP) pimpinan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tun Dr. Lim Chong Eu.
Apabila Chong Eu secara rasmi keluar dari MCA pada 1961, rakan-rakan beliau mengajaknya ke Negeri Sembilan. Beliau yang menerima ajakan itu telah berpindah ke Seremban dan menubuhkan rangkaian UDP di negeri itu.
Malangnya selepas dua tahun UDP berkembang di Negeri Sembilan, Chong Eu berbalah dengan rakan-rakannya dan beliau bertindak memindahkan operasi parti itu ke Pulau Pinang. Pada 1969, Chong Eu telah menyingkirkan pemerintahan kerajaan Perikatan di Pulau Pinang dan bermulanya era baru dalam politik beliau.
Pada masa sama, DAP yang sudah bertapak di Negeri Sembilan telah bertindak memperluaskan pengaruh mereka ke Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Malangnya, pada pilihan raya umum 1982, Min Sin yang bertanding kerusi Parlimen di Negeri Sembilan telah kalah dan menyebabkan negeri itu bukan lagi kubu kuat DAP. Keadaan semakin parah apabila ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP di negeri itu yang bertindak keluar parti seorang demi seorang.
Bagi mengelak perlakuan keluar parti berterusan, Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng telah meletakkan syarat calon DAP yang bertanding pada pilihan raya umum 2004 perlu menandatangani surat perjanjian untuk tidak keluar parti jika menang bertanding.

Dalam pada itu, tanda-tanda bahawa pengaruh DAP kembali semula di Negeri Sembilan bermula pada Pilihan Raya Umum 2008 apabila mereka memenangi 10 kerusi DUN. Jika dicampur empat ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang Pas, pihak pembangkang mempunyai 15 ADUN berbanding 21 ADUN BN.

Berdasarkan perkembangan ini, nampaknya Negeri Sembilan menjadi destinasi baru yang ingin ditawan DAP. Sama ada mereka akan berjaya berbuat demikian adalah bergantung kepada sokongan daripada PKR dan Pas.
Ia juga bergantung kepada kemampuan mereka untuk menggoyang kedudukan UMNO yang merupakan menyumbang kerusi terbanyak kepada BN di negeri itu. Jika gagal, mereka tidak akan dapat membuat perubahan di situ dengan mudah.

PSSSTT...

Kepada BN di Negeri Sembilan, jangan terus duduk dalam keadaan selesa kerana beza kerusi tak jauh dan kerusi yang menang pun bukan menang dengan selesa. Beringat sebelum kena... Bekerjalah untuk rakyat... Jangan fikir rakyat dengan mudah akan bekerja untuk kita...

Renung-renungkan dan selamat beramal...

About Street Writer

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply