» » » Episod malang dan bala Anwar: Rakyat berhak tahu!

SOLAT hajat yang diadakan minggu lalu oleh pihak pembangkang mengenai isu DNA dan video lucah sudah dimakbulkankah? Minggu ini, Malaysia gempar dengan keluarnya video semi lucah di dalam YouTube.

Ada trio di dalam video itu. Seorang lelaki memakai jeans berperut boroi sedikit yang sibuk ke sana ke mari di dalam bilik hotel itu. Seorang lelaki bertuala, perut tidaklah boroi tapi gelebeh sedikit di bahagian dadanya (mungkin kerana usia) dan seorang wanita berkemban tuala yang cantik lagi seksi.

Kita tak pasti video apakah itu, tapi ia menjadi perbualan hangat orang Malaysia. Bagaimana ia tersiar di rangkaian Internet itu juga kita tidak tahu, tapi menjelang tengah malam hari itu (Isnin), pihak YouTube telah menyekatnya.
Pihak YouTube boleh menyekatnya sekiranya terdapat aduan daripada orang ramai. Akibat sekatan itu, laman video itu tertera skrin hitam dengan mesej mengatakan ia disekat kerana terdapat unsur-unsur kelucahan dan tidak sopan.
Bagaimanapun, video itu tetap tersiar setelah ada pihak yang sempat menyalinnya dan meletakkan di bawah nama yang berbeza.

Persoalannya mengapa video itu menjadi sensasi dan turut menjadi berita panas kebanyakan akhbar arus perdana keesokan harinya? Apakah ia ada kaitan dengan seorang pemimpin pembangkang yang bermati-matian menafikannya?

Saya tidak pasti siapa di dalam video itu. Biarlah pihak berkuasa yang menyiasatnya. Polis juga khabarnya sedang menyiasat secara forensik video yang dikatakan didedahkan oleh Datuk T baru-baru ini. Apakah footage (sedutan) yang tersiar di dalam YouTube itu ada kaitan? Itu saya tidak tahu, tapi mungkin juga?
Pemimpin yang selama ini dikaitkan dengan video itu, Anwar Ibrahim telah menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya. Kita sangat hairan tak habis-habis Anwar ditimpa bala.
Adakah kerana hasil solat hajat yang tidak putus-putus dilakukan oleh pengikutnya? Solat hajat yang termakbul boleh membawa kebaikan atau keburukan kepada orang yang berhajat itu. Ia bergantung kepada niat hajat itu dilakukan.
Itu saya tidak pastilah, adakah apa yang berlaku kepada Anwar sekarang hasil daripada solat itu. Hanya Allah Taala sahaja yang maha mengetahui.

Namun bagi merungkai bala yang menimpa Anwar itu, rakyat berhak mengetahui kebenaran dan rakyat sama sekali tidak boleh dihalang daripada mendapatkan kebenaran.
Jika menyorot kepada isu ini banyak yang jadi pening sekarang. Ia membabitkan parti Melayu di negara ini, sementara parti-parti lain hanya menumpang daripada kelebihan akibat kekalutan orang Melayu. DAP kelihatannya begitu gembira menangguk di air keruh.

Yang menjadi mangsa ialah orang Melayu. Pas tuduh UMNO fitnah, UMNO tuduh PKR dan Pas pembelot dan macam-macam lagi. Jika Pas asyik mengatakan UMNO fitnah maka tanyalah Pas apa yang benar dan di mana kebenarannya kepada fitnah itu. Mereka pun tidak boleh menjawabnya. Istilah fitnah yang dibawa selama ini, tidak lebih hanyalah retorik politik untuk mencuit persepsi masyarakat dan penyokong semata-mata.
Oleh itu, rakyat ada hak untuk mengetahui kebenaran. Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 81 yang berbunyi: Dan katakanlah: “Kebenaran telah datang dan yang bathil telah lenyap. Sesungguhnya yang bathil itu pasti lenyap.”
Kecualilah, jika: “Dan Kami jadikan hati mereka tertutup, dan telinga mereka tersumbat, agar mereka tidak dapat memahaminya.” (Al-Isra’: 46)

Anwar yang pernah dituduh dalam kes liwatnya pada zaman Tun Dr. Mahathir menuduh mantan Perdana Menteri itu memfitnahnya dan mempunyai konspirasi untuk menyingkirkannya dari kerajaan. Maka pada masa itu, Anwar menghimpunkan ribuan pengikutnya melakukan reformasi jalanan sehinggalah tertubuh Parti Keadilan dan kini PKR.
Anwar dipecat Mahathir 2 September 1998. Dua atau tiga hari selepas itu beberapa rakannya kebanyakan daripada ABIM menghadiri solat hajat di rumahnya di Damansara. Ia diimamkan oleh seorang syeikh dari Turki. Antara niat mereka adalah untuk selamatkan Anwar dan jatuhkan Mahathir. Namun hakikatnya Mahathir tidak jatuh-jatuh, tapi Anwar yang resah gelisah dan ditimpa bala sehingga ke hari ini.

Semua pihak menuduh Mahathir sebagai puncanya. Namun, semasa pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah), Anwar sekali lagi didakwa. Kali ini atas tuduhan meliwat Saiful Bukhari Azlan pula. Para pengikut Anwar pada masa itu mula terkeliru. Jika dulu mereka menuduh Mahathir, kini mereka mahu menuduh siapa pula? Pak Lahkah?
Penangan mahafiraun tidak kedengaran terhadap Pak Lah kerana ini kes kedua Anwar. Seolah-olah penyokong Anwar di jalanan itu sudah fed-up dengan apa yang berlaku? Mereka bertanya takkan Pak Lah pula punya angkara? Maka yang tinggal dengan Anwar sehingga ke hari ini hanyalah pengikut totoknya dalam PKR – sebuah parti yang memperjuangkan diri Anwar Ibrahim semata-mata.

Kini penentuan DNA yang dicalit dari bahagian dubur Saiful akan dipadankan dengan DNA botol, tuala dan berus gigi yang digunakan oleh Anwar. Jika ia padan apakah para penyokongnya akan memberontak sekali lagi?
Dalam masa kita menunggu keputusan penggulungan kes Saiful itu dan penentuan padanan DNA tersebut, keluar pula soal video seks ini.

Apa sudah jadi ni? Ramai yang bertanya? Ada yang percaya dan ada yang masih tidak percaya.
Subjeknya seperti biasa terus tidak mengaku dan mengatakan ia sebagai fitnah. Ramai orang termasuk pengikut setia Anwar – bekas peguamnya Zulkifli Noordin, dan bekas-bekas setiausaha sulitnya yang sudah tidak percayakan Anwar mahukan bekas bos mereka itu bersikap ‘‘Berani kerana Benar dan Takut kerana Salah; bukannya Takut kerana Benar dan Berani kerana Salah.”

Anwar, yang antara filem kegemarannya Farewell My Concubine (kisah gundik terakhir di zaman maharaja China), kini terus bergelumang dengan hidup-matinya dalam politik dan dunia bebas. Bala terus-menerus menimpanya.
Kita ikutilah kesudahannya episod malang dan bala Anwar.
(2) SAYA tertarik untuk memetik surah Yasin ayat 65 yang berbunyi: “Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan”.

Ia membawa erti mulut manusia mungkin boleh bercakap bohong, mendusta, tapi tangan dan kaki akan menjadi saksi kepada pendustaan kita itu, kata sahabat seorang ahli matematik dan komputer sains yang percaya sejenis alat boleh membuktikan seseorang itu bercakap bohong atau tidak.
Katanya, apabila wayar-wayar dipasang di jari-jari tangan dan anggota badan maka orang itu akan diuji untuk bercakap benar atau bohong. Mesin itu dikenali sebagai poligraf (polygraph) atau alat kesan pembohongan, mungkin boleh menjadi salah satu alat ujian untuk kes-kes seperti itu. Orang yang bohong biasanya boleh dikesan melalui dengupan jantung dan nadi, peluh di jari-jari, getaran di halkum dan lain-lain.

Ujian poligraf jarang-jarang dilakukan di Malaysia. Difahamkan ada beberapa agensi penguat kuasa mempunyai alat itu tapi hanya digunakan untuk urusan dalaman sahaja. Pihak polis tidak menggunakan poligraf untuk mengesan peringkat awal pengakuan tertuduh dalam sesuatu kes.

Di Amerika, ia banyak digunakan untuk orang yang disyaki terbabit dalam jenayah seksual. Ia juga banyak digunakan ke atas pesalah seksual yang dibebaskan secara parol atau di bawah pemerhatian. Banyak mahkamah rayuan persekutuan di Amerika menyokong penggunaan poligraf untuk pesalah seksual yang dibebaskan di bawah pemerhatian bagi menilai keinginan seks, pemikiran dalaman dan naluri.

United Kingdom juga dikatakan akan mewajibkan ujian poligraf ke atas pesalah seksual yang dibebaskan atas jaminan.
Menurut sahabat tersebut, ayat Kursi itu dengan jelas membuktikan bahawa anggota badan lain kita tidak akan menipu sekiranya mulut asyik mengatakan dia difitnah, ditipu atau tidak melakukannya.
Walaupun poligraf ada kelemahannya, sahabat itu berkata, banyak kes yang boleh diselesaikan jika ujian tersebut digunakan dalam urusan siasatan dan forensik di Malaysia. Apa kata polis?

sumber:utusan

About Street Writer

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply