KUALA LUMPUR 16 Julai – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Chandra Muzaffar hari ini menyahut cabaran Ahli Dewan Negara, Senator Dr. Syed Husin Ali dengan memberi penjelasan berkaitan dana yang diperolehi organisasi-organisasi yang diketuainya.
Penjelasan isu dana luar BERSIH 2.0...
Chandra yang merupakan Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST) dan juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia (Y1M) itu berkata, kedua-dua organisasi yang diketuainya itu tidak pernah menerima dana asing sebaliknya bersumberkan pembiayaan daripada sektor swasta dan awam di negara ini.
Kata beliau, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, pihaknya bekerjasama dengan NGO luar dari semasa ke semasa.
“Bagaimanapun, kita menganggap NGO seperti Open Society Foundations (OSF) tajaan George Soros dan National Endowment for Democracy adalah NGO yang mempunyai matlamat tersirat serta bertentangan dengan kedaulatan dan kemerdekaan negara seperti Malaysia.
“Oleh itu, saya merayu pemerintah menyiasat pertemuan Pengarah OSF, Inisiatif Asia Tenggara, Maureen Aung Thwin dengan beberapa pemimpin Bersih dan PKR di Kuala Lumpur tempoh hari.
“Bagaimanapun, kenyataan media saya bertarikh 5 Julai lalu tidak menuduh Bersih atau PKR menerima dana dari OSF,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Chandra baru-baru ini mendedahkan bahawa Maureen bertemu dengan pemimpin pembangkang serta pertubuhan yang bernaung di bawah Bersih pada 27 Jun hingga 2 Julai lalu.
Menurut Chandra, pertemuan tersebut dipercayai membincangkan mengenai isu dana kepada Bersih kerana Projek Burma/Inisiatif Asia Tenggara dikendalikan OSF.
Kata Chandra, beliau mahu siasatan dilakukan berdasarkan pengalamannya sebagai bekas pemimpin PKR di mana Maureen telah berjumpa dengannya beberapa minggu sebelum Pilihan Raya Umum ke-10 untuk mengesahkan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan ketika itu telah memohon dana pilihan raya kepada pemilik media Zionis, Rupert Murdoch melalui Azmin Ali.
“Saya menekankan kepada Maureen bahawa PKR tidak mahu terima dana asing. Anwar juga melalui isterinya, Dr. Wan Azizah menafikan bahawa beliau meminta Murdoch membantu PKR. Tetapi dalam beberapa perkembangan selepas itu, meyakinkan saya bahawa Anwar berbohong,” katanya.
“Apakah Dr. Syed sedar tentang hubungan Anwar dengan individu dan kumpulan tertentu yang mengejar agenda Zionis dan Neocon, bertujuan menguasai dunia melalui sekutu dan konco-konco mereka.
“Apakah beliau sedar tentang hubungan Anwar dengan bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat dan bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz yang dianggap sebagai perancang perang Iraq pada 2003?” soalnya.
Chandra dalam kenyataan itu turut mempersoalkan sanggupkah rakyat di negara ini menyerahkan masa depan anak dan cucu mereka kepada seorang individu yang terlibat secara langsung dalam agenda politik penguasaan dunia Neo-Con-Zionis – Utusan
source: aidc
No comments: