» » » Peluang untuk Majlis Syura Ulama Pas bukti kewibawaan


pengarang@utusan.com.my
KEPUTUSAN Pas menyerahkan kepada Majlis Syura Ulama parti itu bagi menentukan nasib Nasharudin Mat Isa boleh dianggap satu babak politik yang menarik.

Mungkin inilah kali pertama dalam sejarah Pas atau juga mana-mana parti politik tanah air seseorang akan 'dibicarakan' bukan kerana melanggar peraturan parti tetapi disebabkan mempertahankan maruah parti.

Malahan lebih daripada itu, ia juga mungkin kali pertama berlaku dalam sebuah parti yang mengaku memperjuangkan Islam seseorang yang cuba mempertahankan pendiriannya berhubung martabat Islam diadili.

Begitulah hebat dan anehnya politik memburu kekuasaan yang ditunjukkan oleh Pas apabila sanggup menghukum pemimpin sendiri semata-mata untuk menjaga hubungan dengan rakan sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Kalau kita mengkaji rentetan politik melibatkan Pas, PKR dan DAP, kita akan mendapati tidak ada mana-mana pemimpin pembangkang yang 'dibicarakan' oleh parti sendiri kerana mempertahankan pendirian parti mereka.

Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh parti itu kerana mengkritik Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu lompat parti, beliau mahu Anwar bertaubat, kenyataan itu popular sehingga ke hari ini.

Begitu juga apabila Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengkritik kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, PKR tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas beliau.

Malahan PKR dan DAP juga tidak pernah mengambil pusing kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpinnya mengkritik Pas. Walaupun kadang kala kenyataan mereka dilihat boleh mengguris perasaan penyokong Pas namun kedua-dua parti itu tidak berbuat apa-apa.

Tetapi malangnya, apabila ada pemimpin Pas membuat kenyataan membela dan mempertahankan Pas, beliau berhadapan dengan tindakan oleh parti sendiri.

Itulah nasib Nasharudin yang juga bekas Timbalan Presiden Pas, beliau seolah-olah dilihat melakukan dosa besar terhadap Pas apabila meminta parti mengkaji semula kedudukan dalam pakatan pembangkang. Nasharudin melahirkan pendapat itu secara ikhlas kerana hakikatnya itulah sebenarnya suara ahli-ahli Pas di peringkat umbi.

Malahan Nasharudin sudah bosan dan berasa tercabar apabila sebagai seorang yang bertaraf ulama, beliau hanya melihat sahaja penentangan -penentangan terhadap usaha Pas melaksanakan perjuangan Islam dan hukum hudud.

Sebab itulah Nasharudin merasakan sudah tiba masanya bersuara kerana beliau tidak mahu menjadi kelompok 'syaitan bisu' dalam Pas yang tidak berkata apa-apa ketika dasar perjuangan Pas semakin ditinggalkan.

Bagaimanapun, ramai yang melihat selain kenyataan meminta Pas mengkaji kedudukan dalam pembangkang, Nasharudin juga berhadapan dengan tindakan kerana paparan gambar beliau bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mekah dengan beberapa ulama terkemuka Arab Saudi.

Sebelum ini pun pemimpin-pemimpin sekular dalam Pas sudah 'berasa panas' apabila melihat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri majlis perkahwinan anak Nasharudin. Ketika itu sudah ada blog-blog pembangkang yang mendesak Pas melakukan sesuatu kepada Nasharudin.

Bagaimanapun apa yang lebih menarik untuk disaksikan dan dianggap satu cabaran kepada Dewan Ulama ialah apakah tindakan yang hendak diambil ke atas Nasharudin?

Jika mereka menghukum Nasharudin jelaslah ulama-ulama di dalam Majlis Syura Ulama pun sama dengan puak-puak bukan ulama yang meletakkan kepentingan politik bersama PKR dan DAP mengatasi segala-segalanya.

Sudahlah Pas induk dilihat menjadi 'pak turut', Dewan Pemuda hangat-hangat tahi ayam dan Dewan Muslimat dianggap 'hidup segan mati tak mahu', takkanlah Dewan Ulama pun hendak menjadi 'saksi bisu' dalam mempertahankan martabat dan dasar perjuangan Pas?

Berikutan itu pendirian Majlis Syura terhadap isu melibatkan Nasharudin amat dinanti-nantikan, mereka akan menjadi penentu dan benteng terakhir bagi mempertahankan maruah Pas.

Ia memandangkan ketika maruah dan martabat Pas sejak berada dalam pakatan pembangkang dilihat diperkotak-katikkan tiada siapa yang berani ke hadapan membelanya kecuali Nasharudin.

Dewan Ulama perlu membuktikan bahawa mereka mempunyai kewibawaan, kredibiliti, pengaruh dan paling penting keberanian untuk menegakkan kebenaran. Ini kerana sama ada hendak diakui atau tidak suara ulama dalam Pas semakin tenggelam.

Malahan kedudukan golongan itu semakin terpinggir dan mereka ibarat hanya menjadi penghias organisasi sahaja apabila dalam pemilihan parti itu, golongan ulama tidak lagi berada di posisi kepimpinan kanan.

Dewan Ulama tidak perlu berbangga dengan kedudukan Presiden yang kini diterajui oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang, seorang ulama kerana beliau sendiri sudah dilihat semakin kehilangan taring dalam menerajui Pas.

Sebab itulah kes Nasharudin dianggap ujian kepada Dewan Ulama untuk melihat sejauh manakah mereka masih memiliki kekuatan politik bagi menunjukkan golongan ulama masih ada kuasa dalam Pas.

Walaupun Pas sering menguar-uarkan Dewan Ulama menjadi pemutus kepada perjalanan parti percayalah semua itu hanyalah retorik semata-mata, semua orang tahu bagaimana kedudukan ulama dalam Pas kini. Slogan kepimpinan bersama ulama pun sudah tidak kedengaran lagi, apa yang popular sekarang ialah 'Pas for All'.

Kita juga tidak harus lupa bagaimana Majlis Syura Ulama seolah-olah dipandang sebelah mata oleh sesetengah pemimpin pembangkang sebab itulah apabila majlis berkenaan memberi kata dua kepada Anwar untuk menyaman Wall Street Journal atau menarik balik kenyataannya berkaitan soal keselamatan negara Israel tidak lama dulu, Anwar tidak pernah mempedulikannya.

Isu itu dianggap selesai apabila beliau bertemu dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan selepas itu Majlis Syura Ulama hanya diam membisu.

Sebab itulah Majlis Syura Ulama perlu berhati-hati dalam menangani isu Nasharudin ini, janganlah mereka hanya berani mengambil tindakan ke atas pemimpin sendiri tetapi tidak berani berkata apa-apa terhadap pemimpin pembangkang lain biar pun mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan prinsip Pas.

Majlis Syura Ulama tidak harus menjadi 'jaguh' dalam gelanggang sendiri, kalau benar mereka masih mahu melihat Pas meneruskan perjuangan Islamnya maka buatlah keputusan sebaik-baik dalam isu Nasharudin ini.

Percayalah, sebarang keputusan yang dilihat untuk menghukum Nasharudin tidak akan menguntungkan Pas apatah lagi golongan ulama sebaliknya hanya mewujudkan persepsi bahawa ulama Pas juga 'pak turut'.

Majlis Syura Ulama perlu memahami bahawa walaupun Nasharudin dianggap oleh Abdul Hadi pemimpin yang sudah ditolak oleh akar umbi , semua itu hanyalah kenyataan untuk menyedapkan hati sahaja.

Penyokong Pas di peringkat akar umbi akan lebih keliru jika majlis itu tidak membela Nasharudin kerana ia membuktikan pandangan banyak pihak sebelum ini bahawa tidak kira sama ada ulama mahupun bukan ulama dalam Pas, kesemuanya hanya memburu kuasa politik, bukannya memperjuangkan Islam.

Terserahlah kepada Majlis Syura Ulama untuk membuat keputusan sebaik-baiknya, kalau pun mereka menyingkirkan Nasharudin ia bukanlah satu kejutan kerana pejuang Islam tidak berhak berada dalam Pas yang kini memperjuangkan negara berkebajikan dan menubuhkan negara sekular bersama PKR serta DAP.

About Street Writer

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply