PANAS: Zahid Dedah Kepincangan PKR!!!
KEHADIRAN beliau dalam setiap kali siri ceramah yang dihadirinya sering sahaja menarik perhatian ramai.
Mungkin ada yang beranggapan kelantangan Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), MUHAMMAD ZAHID MD. ARIP agak keras namun yang pasti siri ceramahnya sentiasa penuh dengan orang ramai.
Bagi mereka yang terasa dengan kelantangan beliau, ujar Muhammad Zahid, bagi mereka yang makan cili mereka yang merasa pedasnya.
Beliau yang juga bekas Naib Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan apa yang didedahkannya selama ini adalah kenyataan sebenar yang dilalui ketika aktif di dalam parti itu.
Namun setelah mengenali siapa sebenarnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Zahid tidak lagi mahu menoleh ke belakang.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, beliau mendedahkan tidak mustahil pihak pembangkang akan sanggup melakukan apa sahaja untuk meraih simpati demi mendapat undi dari masyarakat.
MINGGUAN: Sebagai seorang yang pernah aktif dalam PKR bagaimana saudara melihat kedudukan parti itu serta kerjasama dalam pakatan pembangkang?
ZAHID: Saya melihat parti tersebut adalah parti yang langsung tidak ada pendirian dan hanya pandai mencari kesalahan orang lain terutama UMNO dan Barisan Nasional (BN). Saya juga mendapat maklumat dalaman bahawa Pas kini semakin tergugat kedudukannya apabila Majlis Syura kini sudah berpecah belah. Malah pemimpin kanan mereka sendiri umpama retak menanti belah antara Harun Taib, Mustafa Ali dan Hadi Awang. Mereka tidak mahu Anwar menjadi pemimpin dalam pembangkang apatah lagi Perdana Menteri. Malah saya dengar terdapat mereka yang mahu Tengku Razaleigh memimpin mereka tetapi di mana signifikannya kerana beliau adalah pemimpin UMNO. Dalam perkiraan mereka jika berlaku kerajaan tergantung maka kemungkinan Tengku Razaleigh yang paling layak. Jika di dalam Pas sendiri sudah berpecah belah apa lagi yang tinggal dalam pakatan. Semua perkara sanggup digunakan mereka termasuklah agama dalam isu penggunaan kalimah Allah kepada penganut bukan Islam, pluralisme agama, Islam liberal dan pelbagai lagi hanya demi mendapatkan kuasa. Maka saya tidak hairan jika pemimpin dan ahli Pas sendiri sudah kecewa dengan Anwar dan tidak mustahil perkara ini benar-benar berlaku kerana tidak lagi mahu tertipu dengan segala dakyah mereka.
Apakah yang boleh kita pelajari dari pilihan raya di luar negara?
ZAHID: Saya memberi beberapa contoh apa yang telah berlaku pada pilihan raya di luar negara. Di Pakistan misalnya bekas pemimpin pembangkang yang terkemuka Benazir Bhutto semasa proses pilihan raya berlangsung pada 2007 tidak semena-mena beliau terbunuh dalam satu serangan letupan bom ketika berkempen. Ketika itu masih berlangsung proses pilihan raya dan adalah menyedihkan perkara itu berlaku. Akibat kejadian itu anggota parti pimpinannya Parti Rakyat Pakistan (PPP) beliau segera menuduh bahawa kejadian itu dilakukan oleh bekas Presiden Pervez Musharaf kerana takutkan kebangkitannya lalu membunuh Benazir untuk menumpulkan serangan dan kempen pilihan raya parti itu. Hakikatnya beliau telah pun meninggal dunia tetapi terdapat pihak yang mendapat keuntungan dari kejadian itu. Kejadian itu telah mengakibatkan peluang pihak lain yang bertanding dalam pilihan raya langsung tertutup dan mengakibatkan calon yang menggantikannya iaitu suami Benazir, Asif Ali Zardari menjadi Perdana Menteri Pakistan yang baru.
Maka timbul persoalan apakah kejadian ini ditimbulkan oleh Pervez Musharaf, tetapi bagi saya bukan beliau yang melakukannya. Ini kerana jika benar Pervez yang melakukannya apa yang dia dapat kerana akhirnya dia hilang kuasa dan hanya menjadi rakyat biasa. Malah sehingga kini masih tidak ada satu bukti pun yang dikemukakan bahawa Pervez yang terlibat. Yang pasti ada pihak yang sengaja melakukan ini untuk meraih simpati rakyat yang akhirnya mengakibatkan Pervez hilang kuasa dan beliau terpaksa memikul semua tuduhan ini sehinggalah sekarang. Adalah tidak mustahil bahawa terdapat ahli parti Benazir sendiri yang melakukan perkara itu yang akhirnya memungkinkan parti itu menang dalam pilihan raya.
Bukankah perkara sama juga berlaku di beberapa negara lain antaranya Filipina?
ZAHID: Memang benar. Perkara sama juga berlaku di Filipina apabila bekas pemimpin yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat, Benigno Aquino Jr. yang memilih untuk balik ke negaranya selepas hidup dalam buangan. Keadaan politik Filipina ketika itu agak huru-hara memandangkan terdapat dakwaan bahawa Presiden ketika itu Ferdinand Marcos sedang sakit dan beliau melihat inilah peluang untuk kembali walaupun beliau tahu keselamatannya akan terancam. Walaupun terdapat pelbagai cubaan untuk menafikan beliau dari pulang ke tanah airnya namun akhirnya kapal terbang yang membawanya berjaya mendarat pada 21 Ogos 1983. Namun sebaik menjejakkan kaki ke landasan beliau telah ditembak oleh penembak curi yang mengakibatkan kematiannya. Maka terdapat pelbagai dakwaan bahawa Marcos adalah dalang di sebaliknya. Tetapi bagi saya apakah benar beliau yang melakukannya, tidakkah timbul kemungkinan terdapat pihak yang mengambil kesempatan dari kematiannya termasuklah ahli partinya sendiri. Memang orang akan menuding jari ini kerja Marcos tetapi jika benar apa yang dia dapat kerana selepas itu kerajaan pimpinannya tumbang dan isteri Benigno, Corazon Aquino menjadi Presiden pada 1986 akibat kebangkitan rakyat kerana marah terhadap insiden itu. Walaupun beberapa orang didakwa atas pembunuhan itu sehingga sekarang masih tidak ada bukti bahawa Marcos adalah dalang dalam kejadian itu.
Perkara sama juga berlaku di Taiwan pada Pilihan Raya Presiden 2004 apabila Presiden ketika itu Chen Shui-bian dan calon Naib Presiden, Annette Lu dari Parti Progresif Demokratik (DPP) telah ditembak oleh penembak curi ketika sedang berkempen di Tainan. Bagaimanapun kedua mereka tidak mendapat sebarang kecederaan tetapi peristiwa itu telah cukup untuk memberikan mereka simpati rakyat yang akhirnya mempengaruhi keputusan pilihan raya. Mereka menang dengan kelebihan undi yang sedikit mengakibatkan rakyat bangkit membuat bantahan. Ramai pihak yang berpendapat bahawa kejadian itu adalah cubaan yang dilakukan oleh ahli partinya sendiri untuk membolehkan parti itu menang dalam pilihan raya tersebut.
Apa signifikan dari kejadian-kejadian ini yang cuba saudara timbulkan?
ZAHID: Adalah tidak mustahil dengan contoh-contoh yang saya berikan ini terdapat pihak-pihak yang akan cuba mengambil kesempatan melakukan sesuatu yang buruk. Bagi saya semua ini tidak mustahil kerana demi kuasa apa sahaja sanggup dilakukan. Mungkin ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan untuk melakukan sesuatu yang buruk untuk meraih simpati rakyat yang akhirnya membolehkan mereka menang pilihan raya.
Apakah contoh perkara lalu yang kesannya mampu mengelirukan rakyat?
ZAHID: Saya bagi contoh, beberapa hari selepas laporan polis dibuat terhadap beliau dalam kes liwat membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Anwar telah lari bersembunyi di Kedutaan Turki dengan mendakwa terdapat pihak yang mahu membunuhnya. Dalam kejadian pada tahun 2008 itu Anwar telah bersembunyi selama 36 jam di Kedutaan Turki dan akhirnya keluar secara sukarela setelah diberi jaminan oleh kerajaan. Yang pasti, polemik itu meraih simpati rakyat selain cuba mengalih perhatian rakyat dalam kes liwat itu. Jika benar beliau mendapat ugutan bunuh kenapa beliau masih hidup sehingga sekarang malah bebas berkempen di sana sini tanpa sebarang masalah. Malah Anwar tidak pula menunjukkan sebarang bukti terdapat pihak yang mahu membunuhnya sehinggalah sekarang. Anwar sememangnya sering sahaja mendakwa beliau adalah mangsa konspirasi termasuklah mendakwa kerajaan pernah mahu membunuhnya ketika di penjara dengan menggunakan racun arsenik.
Begitu juga beliau pernah mendakwa ada pihak mahu membunuhnya dengan sengaja merosakkan sistem brek keretanya dan pelbagai lagi tetapi hakikatnya beliau masih hidup sehingga sekarang, sihat walafiat, bebas bergerak ke mana sahaja dan keluarganya juga selamat tanpa sebarang masalah atau ugutan. Semua itu sengaja ditimbulkannya semata-mata mahu meraih simpati rakyat yang akhirnya akan keliru dan sedikit sebanyak terpengaruh seolah-olah kerajaan BN sekarang ini terlalu zalim dan kejam sehingga sanggup membunuhnya untuk terus berkuasa. Takkanlah kerajaan begitu bodoh mahu bertindak sedemikian kerana jika benar yang rugi adalah BN kerana mustahil rakyat boleh bertolak ansur dengan kekejaman sedemikian. Semua ini tidak mustahil berlaku kerana apa yang penting adalah menimbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan seolah-olah kerajaan zalim yang kemudian memungkinkan undi simpati diraih hanya untuk membolehkan mereka berjaya menawan Putrajaya.
Adakah rakyat akan keliru siapakah pihak yang benar dan sebaliknya?
ZAHID: Perkara-perkara sebegini pernah berlaku di luar negara yang akhirnya mampu mengubah landskap pilihan raya negara itu. Saya juga mahu bertanya jika ada pihak yang mengatakan pihak UMNO dan BN yang merancang mahu melakukan semua itu, apa yang mereka dapat.
Akhirnya mereka yang hilang kuasa kerana sudah tentu rakyat akan bersimpati dengan apa yang berlaku. Apa yang saya mahu tekankan adalah supaya rakyat boleh menilai bahawa sebarang kemungkinan boleh berlaku pada pilihan raya kali ini. Mungkin ada nanti yang berkata takkanlah semua ini boleh berlaku. Tetapi jika keadaan terdesak apa sahaja boleh berlaku kerana ini melibatkan soal kuasa dan persepsi. klik sini
No comments: