KUALA TERENGGANU, 12 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Seri
Ahmad Said hari ini membidas kenyataan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Negeri,
Ariffin Deraman yang mahu wakil rakyat PAS di negeri itu turut diberi peruntukan
sama seperti wakil rakyat Barisan Nasional (BN).
Ini kerana, katanya PAS yang pernah memerintah Terengganu pada tahun 1999
hingga 2004 juga tidak menyalurkan peruntukan tersebut kepada wakil rakyat BN
ketika itu.
"PAS pernah perintah Terengganu pada 1999 hingga 2004. Apa yang mereka
lakukan pada wakil rakyat BN ketika itu?. Kenapa tak bagi peruntukan?.
"Di Kelantan, PAS menjadi kerajaan, ada mereka bagi peruntukan kepada wakil
rakyat BN?. Begitu juga di Kedah dan Selangor pada penggal yang lepas, ada bagi
kepada wakil rakyat BN," katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan
Ariffin itu.
Ariffin dalam sidang medianya semalam berkata sepatutnya peruntukan kepada
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang khususnya PAS juga diberi sama
seperti yang disalurkan kepada Pegawai Pembangunan Dun (PPD) sebelum ini.
Ditanya mengenai tindakan PAS yang akan berterusan mendakwa pentadbiran
Ahmad sebagai zalim kerana tidak menyalurkan peruntukan itu, Ahmad yang juga
Adun Kijal berkata PAS memang sentiasa membuat pelbagai tuduhan kepada BN dari
dulu lagi.
"Zalim tu (tuduhan kepada BN) kerja dia dari dulu lagi, bukannya sekarang
sahaja. Dia kata BN tak telus lah, tak ada integriti lah, macam-macam dia tuduh.
"Termasuk dalam PRU 13 ini, kata berlaku blackout lah, peti undi kena bawa
lari dan dakwat kuku mudah dihilangkan, sedangkan wakil parti PAS, PKR semua ada
dari awal hingga habis proses mengundi," katanya.
PAS juga mendakwa Ahmad sebagai Menteri Besar pendendam dan emosi kerana
tidak bercadang mahu meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di Dun dan Parlimen
yang BN kalah pada PRU 13 lalu.
Mengulas tuduhan itu, Ahmad berkata selama ini BN telah banyak berkhidmat
kepada rakyat melalui PPD dan PPP, dan kini sudah tiba masanya wakil rakyat PAS
menjalankan tanggungjawab itu.
"Bukanlah bermakna kita akan mengabaikan rakyat, cuma kita akan gunakan
kaedah lain, pendekatan lain untuk membantu rakyat melalui pemimpin setempat,
Pegawai Daerah dan agensi-agensi kerajaan yang lain.
"Agenda merakyatkan pentadbiran dan pembangunan akan diteruskan kerana kita
mahu semua rakyat menerima limpahan hasil kemajuan Terengganu yang semakin pesat
untuk tempoh beberapa tahun akan datang dengan kualiti perkhidmatan awam yang
terbaik," katanya.
BN Terengganu membentuk kerajaan negeri setelah menang mudah dengan
mendahului 17 kerusi, PAS (14) dan PKR (satu).
No comments: