» » Meraung enggan lepaskan mayat suami

Seorang isteri tidak henti meraung dan enggan melepaskan tubuh suaminya yang kaku apabila motosikal ditunggangi lelaki berkenaan merempuh lori yang melakukan pusingan `U’ dalam kejadian di Kilometer 14.5, Jalan Tuaran By Pass, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa, Mohd Razif Mohd Sabtu, 22, mati serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Dalam kejadian itu, motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggangi mangsa turut terbakar, manakala pemandu lori berkenaan bertindak melarikan diri sejurus selepas kejadian.

Difahamkan, isteri mangsa, Norafiza Mohammad, 23, yang tiba beberapa minit kemudian sebaik dimaklumkan mengenai perkara itu memeluk erat suaminya yang berlumuran darah selain pengsan beberapa kali selepas gagal mengawal perasaannya sebaik melihat mayat lelaki terbabit ditutupi kain putih.

Orang ramai yang membantu menenangkan isteri mangsa termasuk cuba melepaskan pelukan wanita berkenaan bagi membolehkan mayat mangsa dihantar ke hospital turut gagal.

Namun, beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kota Kinabalu berjaya menenangkan isteri mangsa sebelum mayat lelaki berkenaan berjaya dibawa ke hospital.

Menurut adik mangsa yang dikenali sebagai Norfatiah, 20, sebelum kejadian abang iparnya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Sulaman.

“Sebelum keluar, abang ipar ada memberitahu kakak yang ketika itu sedang memasak di dapur untuk ke tempat kerja.

“Beberapa minit kemudian, seorang individu menghubungi kakak mengatakan suaminya terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Norfatiah berkata, abang iparnya baru dua minggu bekerja sebagai pengawal keselamatan di pangsapuri di jalan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati mangsa datang dari arah Likas menuju Telipok dan sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh lori jenis Isuzu yang melakukan pusingan U,” katanya.

“Mangsa yang parah mati serta merta di tempat kejadian sementara motosikal miliknya turut terbakar,” katanya.

Katanya, pemandu lori yang menyedari perkara itu bertindak melarikan diri.

“Polis kini sedang giat mengesan pemandu lori berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

About Street Writer

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply