» » Shamsul ingatkan Khalid jadi MB kerana PKR

Walaupun telah diberi surat tunjuk sebab oleh pihak parti, Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin tetap meneruskan desakannya supaya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berundur.

Kali ini, beliau mengingatkan Khalid bahawa satu-satunya sebab beliau menduduki kerusi MB ini adalah kerana PKR memberinya kerja tersebut, dan oleh itu Khalid hendaklah patuh kepada desakan supaya beliau berundur.

Shamsul juga mendakwa bahawa Majlis Pimpinan PKR, dalam  mesyuaratnya pada 15 Januari 2014, telah sepakat mendesak pengunduran Khalid, dan oleh itu Khalid harus patuh dan bukannya berkeras bahawa menteri besar tidak boleh ditukar sewenang-wenangnya.

"Kenyataan ini jelas menzahirkan kedangkalan beliau dalam memahami bahawa jawatan menteri besar itu sendiri diperolehi melalui pencalonan Parti Keadilan Rakyat khususnya dan konsensus Pakatan Rakyat amnya, yang telah dipilih majoriti rakyat Selangor semasa PRU13 yang lalu.

"Amat malang apabila proses ini tidak dianggap penting dan dibelakangi. Ini jelas menunjukkan beliau meletakkan dirinya melebihi kepentingan parti, seolah-olah beliau merupakan faktor utama kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor," kata Shamsul dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas laporan media yang memetik Khalid sebagai berkata “kerajaan tidak boleh membuat perubahan sewenang-wenangnya” sebagai merujuk kepada kedudukan menteri besar Selangor yang kini disandangnya.

Khalid juga dipetik oleh media sebagai menyangkal tuntutan pemimpin PKR bahawa beliau telah berjanji untuk mengosongkan jawatan itu selepas pilihan raya kecil DUN Kajang pada 23 Mac lalu.

Shamsul seterusnya mengingatkan Khalid bahawa beliau tidak
mungkin menang di DUN Ijok atau Pelabuhan Klang pada tahun 2008 dan 2013 sekiranya bertanding sebagai calon Bebas ataupun calon BN.

Malah, katanya, Khalid kini terpaksa melantik penyelaras DUN Pelabuhan Klang, Faekah Husin, yang memegang pelbagai jawatan lain termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dengan gaji mewah untuk menjalankan tugas beliau sebagai wakil rakyat kawasan.

Faekah, yang merupakan bekas setiausaha politik Khalid, juga menerima surat tunjuk sebab kerana membuat kenyataan berkaitan isu menteri besar Selangor.

Menurut Shamsul lagi, rakyat Selangor telah memilih PKR dan Pakatan Rakyat kerana yakin  dengan agenda dan manifesto yang ditawarkan secara kolektif dan bukan kerana  Khalid, yang didakwanya "terpaksa lari" daripada mempertahankan kerusi DUN Ijok.

"Saya menuntut Tan Sri Khalid berhenti daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan dangkal dan menghina kebijaksanaan rakyat serta akur dengan desakan agar beliau berundur segera," katanya.

About Unknown

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply