» » Muktamar PAS kecoh lagi

PAHAT 19 Sept. - Hari kedua Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-60 'kecoh' seketika apabila seorang perwakilan yang menggunakan medium doa untuk membahaskan ucapan dasar presiden turut menyelitkan kecaman ke atas beberapa pemimpin parti itu.
Tindakan Wakil Pas Wilayah Persekutuan, Dr. Azhari Ariffin tersebut menimbulkan kemarahan seorang perwakilan dari Kuala Kedah, Ridzuan Abu Bakar yang meluru ke rostrum untuk menyuarakan bantahannya.
Ridzuan berkata, tindakan menggunakan doa untuk 'menghentam' individu lain yang juga merupakan seorang muslim adalah tidak wajar dan harus dihalang kerana medium itu bukan platform untuk berbuat demikian.
"Saya menggesa Pengerusi Tetap (Datuk Abu Kasim Abdullah) untuk menghalang mana-mana perwakilan yang menggunakan doa untuk tujuan salah.
"Perbuatan sedemikian hanya akan memberi tanggapan salah terhadap agama Islam khususnya kepada pemerhati dan media bukan Islam yang turut mendengar doa itu," katanya sebaik sahaja Dr.Azhari menamatkan ucapanya.
Sebelum itu, Dr. Azhari yang memulakan perbahasan melalui medium doa menyatakan beliau malu dengan situasi dalam Pas kini kerana UMNO dilihat lebih memahami intipati Islam dan kesepakatan dalam parti.
"Selama ini kita mengata UMNO dan semua masalah yang berlaku dalam parti itu, tetapi kini masalah tersebut mula merebak dalam Pas. Ahli dan kepimpinan UMNO kini dilihat lebih patuh, taat dan sepakat berhubung sebarang isu membabitkan pimpinan mereka seperti yang berlaku ketika pertukaran Menteri Besar Terengganu," katanya.
Dalam doanya beliau turut menyatakan sokongan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti serta Majlis Syura Ulama dan menolak tindakan segelintir pimpinan parti serta ahli yang dilihat lebih memihak kepada pimpinan parti rakan dalam pakatan pembangkang.
"Sokongan dan kesetiaan harus diberi kepada tiga individu tertinggi dalam parti iaitu Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Timbalannya, Datuk Dr. Haron Din serta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Tetapi apa dilihat kini wujudnya ijtihad salah, fundamental perjuangan salah, penubuhan Pasma (Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia) yang tidak seharusnya berlaku serta sidang akhbar yang diadakan di Dewan Perniagaan Cina di Kuala Lumpur baru-baru ini," katanya.
Dr. Azhari mendakwa terdapat pengkhianat dalam Pas seperti yang berlaku di Selangor baru-baru ini iaitu apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu bertindak membelakangi parti dan menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
"Kita perlu menjauhi individu yang berbuat khianat kerana nila setitik akan merosakkan susu sebelanga. Dalam Pas kini terdapat dua titik nila iaitu nila cap Hulu Klang (Saari Sungip) dan nila cap Morib (Hasnul Baharudin)," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140920/po_03/Perbahasan-muktamar-Pas-kecoh#ixzz3Drna6Be4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

About Street Writer

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply