» » » Tai Cheau Xuen kutip emas pertama negara di Incheon 2014



Tak sepatah perkataan pun keluar daripada mulut Tai Cheau Xuen ketika berada dalam sidang akhbar.
Lidahnya kelu kerana terkejut setelah namanya diumumkan sebagai pemenang pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Asia Incheon semalam.
Acara wusyu, nandao dan nanquan sememangnya menjadi sandaran untuk menghadiahkan pingat pertama buat kontinjen negara di Incheon, namun tiada siapa menduga pingat yang hadir adalah emas kerana acara tersebut turut disertai juara dunia dari China, Hong Wei yang menjadi pilihan utama sebelum saingan di Gimnasium Ganghwa Dolmens bermula.
Wajah Cheau Xuen, yang bakal menyambut ulang tahun ke-23 pada 2 Oktober ini, cukup garang ketika memasuki gelanggang pertandingan, tetapi bertukar pucat sebaik sahaja dia dikerumuni oleh puluhan wartawan kerana kejayaan mengejut yang dilakarnya.
Cheau Xuen bukan saja memahat kejayaan peribadi meraih emas pertama Sukan Asia, malah dia turut melakar sejarah buat sukan wusyu negara kerana ini adalah kali pertama peserta Malaysia berjaya mengalahkan peserta China dalam mana-mana kejohanan.
Berasal dari Negeri Sembilan, Cheau Xuen mempamer prestasi cemerlang dalam saingan nandao (menggunakan senjata) pada sebelah pagi apabila mengutip 9.62 mata, sebelum melakukan satu lagi aksi hebat dalam nanquan (9.61) untuk mengumpul 19.23 mata.
Dia menewaskan peserta Indonesia, Juwita Niza Wasni yang meraih perak dengan 19.19 mata (9.63 + 9.56), manakala sedikit kesilapan ketika melakukan pendaratan menyebabkan Hong Wei terpaksa berpuas hati membawa pulang gangsa menerusi 19.15 mata, biarpun terdahulu cemerlang meraih 9.72 mata dalam saingan nandao.
"Saya tak percaya dapat pingat emas, tambahan lagi ini emas pertama buat Malaysia. Ia memberi kegembiraan yang sukar untuk digambarkan. Terima kasih buat semua, MSN (Majlis Sukan Negara) dan MOM (Majlis Olimpik Malaysia).
"Ini hadiah buat semua rakyat Malaysia," kata Cheau Xuen ringkas selepas dia mula mempercayai dia telah mengharumkan nama negara.
Dia kemudian hanya mampu tersenyum dan sesekali kelihatan mahu menitiskan air mata ketika soalan demi soalan diajukan wartawan kepadanya.
"Saya rasa dia kena serangan 'panik'. Dia masih terkejut dan tidak percaya dapat memenangi emas, tengok mukanya benar-benar pucat," ujar ketua jurulatih kebangsaan, Yoong Thong Foong secara berseloroh.
Pada ketika Cheau Xuen melakar kemenangan yang tidak diduga, perjalanan jauh hampir dua jam yang terpaksa ditempuh skuad wusyu negara dari Perkampungan Atlet ke gelanggang pertandingan nyata memberi kesan buruk buat jaguh senior dan juara dunia acara nandao Diana Bong.
Dianggap prospek utama untuk menjadi penyumbang pingat sulung Malaysia di Incheon, atlet berusia 27 tahun itu sebaliknya menamatkan cabaran nandao dan nanquan di kedudukan terakhir dengan 18.25 mata.
Diana melakukan beberapa kesilapan dan hilang fokus dalam saingan nandao apabila sekadar mengutip 9.20 mata. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila dia turun gelanggang pada sebelah petang untuk acara nanquan dengan sekadar mencatat 9.05 mata.
Hari ini, wusyu sekali lagi menjadi tumpuan untuk menghadiahkan pingat emas buat Malaysia daripada acara yang disasarkan iaitu jianshu dan qiangshu wanita menerusi peserta berusia 18 tahun Phoon Eyin. - MINGGUAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140921/su_01/Kejutan-emas-Cheau-Xuen#ixzz3Dty7shrJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

About Street Writer

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply