Sepuluh saat peluk anak mampu mengubah dunia!!!
Ibu bapa digalak meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 saat setiap hari untuk memeluk anak mereka bagi meningkatkan kemesraan serta keharmonian dalam keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar berkata, perbuatan itu dilihat remeh namun, memberi manfaat untuk kesihatan dan kebahagiaan hidup.
“Ramai yang tidak sedar, meluahkan kasih sayang melalui sentuhan dan pelukan bukan sahaja merapatkan hubungan kekeluargaan malah mampu mengurangkan tekanan emosi dam risiko penyakit jantung serta merendahkan tekanan darah,” katanya demikian sewaktu merasmikan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia Peringkat Negeri di Kota Fesyen, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri, Anisafina Maidin dan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita negeri, Noor Hisamsol Md. Sidik.
Program bertema Keluarga Bahagia, Negara Sejahtera itu disertai lebih 300 keluarga pelbagai latar belakang dari seluruh negeri.
Jelas Latipah, banyak kajian secara saintifik telah membuktikan keberkesanan pelukan yang turut disarankan kepada pasangan suami isteri untuk menzahirkan kasih sayang.
Beliau berkata, kebanyakan pasangan suami isteri semakin kurang mesra setelah usia perkahwinan bertambah yang secara tidak langsung menjurus kepada masalah rumah tangga hingga berlaku penceraian dan sebagainya.
“Adalah digalakkan bagi pasangan suami isteri untuk turut sama mengamalkan kaedah pelukan pada setiap hari kerana berupaya menggalakkan kesetiaan suami terhadap isteri selain mewujudkan rasa aman dan tenteram yang mampu mencegah kemurungan,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/luang-masa-8232-10-saat-8232-peluk-anak-1.28473#sthash.I7AeHdYQ.dpuf
No comments: