KOTA BHARU 19 Mac - Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim (gambar) tidak pernah memberi sokongan terhadap isu liwat yang dihadapi oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun ketika beliau masih berada dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Malah tegasnya, ketika bersama UMNO dan menjadi Menteri Kabinet pada 1998, beliau mengetahui bahawa semua bukti yang ada pada pihak polis berhubung dakwaan salah guna kuasa terhadap Anwar pada tahun itu adalah benar dan tidak ada sebarang konspirasi yang berlaku seperti didakwa oleh pemimpin berkenaan.
Sehubungan itu katanya, segala komen yang pernah dikeluarkannya berhubung Anwar ketika masih di dalam PKR hanya mengenai beberapa kelemahan pihak pendakwaan pada tahun 1998 dan hukuman yang dikenakan, bukannya sokongan terhadap pemimpin itu.
"Masa saya dalam PKR setahun lebih memang saya ada buat komen dalam kes 1998 kerana ada aspek yang tidak memuaskan, misalnya laporan perubatan pengadu ketika itu tidak dikemukakan.
"Saya juga ada memberi ucapan di Ampang, Kuala Lumpur, kalau tidak silap bahawa hukuman penjara Anwar terlalu berat mengenai salah guna kuasa, tetapi tidak sekali pun saya pernah kata Anwar ini dikonspirasikan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Terdahulu, kira-kira pukul 9.30 pagi ini, Zaid yang diiringi oleh beberapa penyokongnya hadir ke Balai Polis Kota Bharu untuk membuat satu laporan polis terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Jelas beliau, laporan itu dibuat untuk menggesa polis menyiasat Karpal kerana mendakwa pemimpin itu telah mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan terhadapnya.
"Tiga hari dulu Karpal buat ugutan terhadap saya. Saya buat kenyataan minggu lepas bahawa Anwar sepatutnya menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dalam kes liwat beliau sebab itulah bukti yang menolongnya kalau tidak buat kerja itu.
"Lanjutan cadangan itu, Karpal kata saya lakukan kesalahan besar, cuba mempengaruhi mahkamah. Dia ugut saya, dia kata jangan main-main dalam air yang bergolak kerana akibatnya parah," jelas Zaid.
Psssst... Rupa-rupanya walaupun pernah bersekongkol dengan Anwar dalam PKR, tetapi Zaid tidak pernah sangkal dakwaaan liwat Anwar. Tetapi kenapa masih sokong Anwar. Susah juga nak faham mainan politik orang yang ada agenda peribadi ni ya.
Takpelah sekarang dah ada parti sendiri "KITA". Bolehlah buat apa-apa yang dia suka. Tapi jangan lupakan harapan ahli parti "KITA' pula ya... Amanah tetap amanah...
No comments: