» » » » » Tazkirah Jumaat: Persaudaraan dan keimanan...

Di hari yang mulia ini marilah sama-sama kita memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan marilah sama-sama kita memperbanyakkan istighfar kepada Allah S.W.T. Semoga kita sentiasa berada dalam limpah dan inayahnya Insya Allah.

Isu perpaduan ummat Islam yang dikaitkan dengan dasar "ukhwah Islamiyyah" (persaudaraan Islam) sering menjadi topik perbincangan, seminar dan muzakarah. Ini ialah kerana perpaduan dan persaudaraan ummat Islam sangat penting dalam proses mewujudkan kekuatan dan kedaulatan umat dan negara Islam. Lebih-lebih lagi dalam negara Islam seperti Malaysia yang mempunyai warga yang berbilang kaum, agama dan budaya. Sehingga kini, umat Islam dinegara ini, masih lagi berupaya memimpin negara.

Namun, berdasarkan kepada pergolakan semasa, di mana umat Islam masih dengan sikap tidak memberi keutamaan kepada perpaduan Islam dan mereka sebaliknya memberi keutamaan yang lebih hanya kepada maslahah organisasi dan cita-cita politik yang berbeza, maka tidak mustahil dalam masa terdekat apa yang ada di tangan (menggungguli kekuasaan) terlepas dan apa yang dikejar tidak dapat dicapai.

Tanyalah sesiapa sahaja umat Islam di negara ini, relakah mereka berada di bawah kepemimpinan bukan Islam di bumi yang pernah menjadi kuasa Islam terbesar di rantau ini? Sudah tentu dengan panras mereka akan berkata "TIDAK" dan kalaulah benar-benar ia terjadi (nau'zubillah), maka kepada siapakah hendak dihumbankan segala dosa? Bayangkanlah... Tangisan dan kehinaan yang bakal diterima oleh generasi akan datang.

Jika benar-benar kedaulatan umat Islam runtuh, tentulah segala kutukan akan dihamburkan kepada kita, generasi Islam kini yang masih tidak sudi memulihkan wabak perpecahan dan persengketaan sesama Islam.

Sesungguhnya apa yang lebih malang, selain daripada masa depan yang gelap, akibat perpecahan ummat Islam ialah kita juga dianggap seolah-olah mempermainkan ayat al-Quran dan as-Sunnah yang menggesa umat Islam, supaya berpegang teguh kepada ajaran Islam dan mengutamakan perpaduan ummah.

Percaya atau tidak fikiran dan perhatian kita seolah-olah dihijabkan daripada mengambil petunjuk al-Quran yang sangat sahih dan jelas, mengenai pentingnya berpegang teguh dengan prinsip-prinsip agama serta persaudaraan dan perpaduan umat Islam, sebagaimana firman Allah dalam Sural Ali-Imran ayat 103 yang bernaksud:

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu, ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalau Allah menyatukan diantara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahnya."


Harus diingat persaudaraan Islam tidak boleh menjadi persoalan kedua, sampingan atau serpihan. Ia semestinya menjadi persoalan utama. Selain daripada tuntutan Allah yang wajib dijunjung dan dipatuhi, persaudaraan dan sikap perihatin kepada sesama Islam adalah prinsip yang sangat mulia dan suci, menjadi pemangkin atau faktor kesempurnaan iman.

Dan janganlah kita lupa bahawa dalam mencari keimanan kepada Allah soal akidah merupakan titik penentu kedudukan seseorang di sisi Allah. Sama ada diterima dan diredhaiNya atau ditolak dan dimurkaiNya. Kita mungkin diterima di sisi masyarakat bahkan oleh rakan-rakan yang bukan Islam, tetapi kerana meremeh malahan mengabaikan kesempurnaan iman menolak perpaduan Islam yang ikhlas, kita tersingkir dari mendapat keredhaan Allah dan rahmatNya. "untung duniawi rugi ukhrawi"

semua orang tidak mahu rugi, apatah lagi di akhirat. Malahan orang mahukan keuntungan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Islam menggalakkan kita agar kuat dan menang di dunia dan memastikan kejayaan dan kebahagian di akhirat. Untuk mendapatkan kedua-duanya, maka janganlah menolak persaudaraan Islam. janganlah keutuhan iman kita dipersoalkan kerana menolak untuk berbaik-baik dan bersatu sesama Islam.

Renungkan maksud sabda Nabi s.a.w ini:

"Demi Tuhan yang menguasai diriku, tidak beriman seseorang hamba itu kecuali setelah dia suka saudaranya mendapat kebaikan apa yang dia suka untuk dirinya."- Muttafakun Alaih.

Menguatkan lagi perintah supaya berlaku baik dan mahukan kebaikan kepada sesama saudara seagama ialah larangan melakukan penindasan, pengabaian dan penghinaan ke atas saudara seagama. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

"Jadikanlah diri kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Muslim itu saudara kepada muslim yang lain: Tidak menzalimi, tidak mengabaikan dan tidak menghina saudara seagama."

Walaupun isu perpecahan menggugat keimanan dan kehidupan masyarakat Islam, tetapi Allah masih sayang dan terus memberi peluang kepada kita untuk berusaha menyelamatkan akidah dan kedaulatan umat (walaupun sudah ada umat Islam sendiri yang cuba memesongkan akidah dengan cuba menghalalkan yang haram (seks bebas)), daripada terus pudar dan merudum dengan memulihkan perpaduan dan persaudaraan Islam bersandarkan kepada petunjuk a-Quran dan As-Sunnah. Justeru, letakkanlah kautuhan iman dan persaudaraan Islam sebagai keutamaan mengatasi semua keperluan organisasi dan peribadi.

Firman Allah dalam Surah Al-Hasyr ayat 10 yang bermaksud;

" Dan orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami rasa dengki terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan an rahmatMu."



Akidah bukan hanya sekadar mentauhidkan Allah semata-mata malah ia adalah asas kehidupan yang sangat penting dan perlu dihayati oleh setiap insan. Dengan akidah yang mantap, seluruh gerak kerja, amalan dan perjalanan hidup seseorang itu stabil dan sempurna. Sebaliknya jika akidah longgar atau terhakis, maka kehidupan seseorang itu juga pasti terumbang-ambing dan tidak menentu.

Maka salah satu pelengkap keimanan atau akidah yang mantap ialah sikap "mahabbah" dan rasa persaudaraan yang mendalam apabila seseorang itu berurusan atau berkomunikasi dengan sesama muslim.

Insya Allah jika semangat persaudaraan diutamakan dan dipupuk di kalangan umat Islam, pasti akidah semakin kukuh dan akhirnya terciptalah kehidupan yang harmoni, kebahagiaan yang diberkati dan imej dihormati oleh seluruh warga dunia.

Marilah kita sama-sama muhasabah, renungkan dan fikir-fikirkanlah. Semoga kita hidup sentiasa dalam rahmatNya dunia dan akhirat.

wallahua'lam...

About Street Writer

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply