» » Adakah Menurunkan 20% Duti Eksais Kereta Memberi Faedah Pada Rakyat Bawahan?



Sebelum memasuki Plaza Tol Bukit Jelutong, Shah Alam tadi untuk berceramah di Pasir Gudang malam ini, saya ternampak kain rentang yang tertera janji Pembangkang untuk menurunkan harga kereta, harga minyak dan lain-lain. Lokasi pemasangan kain rentang ini agak strategik dan sudah pasti akan menambat hati pengguna kereta yang lain. Persoalan yang mungkin tak pernah difikir oleh rakyat yang membaca banner tersebut, adakah jika duti eksais kereta diturunkan dan harga kereta turun mendadak, rakyat akan berpeluang menukar kereta? Tidak! tidak! Tidak sama sekali! Kenapa? Sebagai contoh, Anwar mengatakan bahawa setiap rakyat akan jimat RM70 sebulan jika duti eksais kereta diturunkan 20%. Dari mana dia dapat angka ini? Mungkin Nujum Pak belalang yang bagi. Katakanlah RM70 x 12bulan x 9 tahun tempoh bayaran kereta. Nilai 20% itu hanya RM7560. Ini bermakna duti eksais kereta tersebut ialah sebanyak RM37,800, maka harga kereta tersebut adalah sekitar RM80,000. Katakanlah kereta tersebut Toyota Vios. Beli baru 80k, tapi lepas 5 tahun, kita nak ubah selera pakai Kia K5 pula yang berharga sekitar 140k. Lepas 5 tahun, Vios kita mungkin laku 40k sahaja, hutang di bank masih ada 35k. Ini bermakna, jika kita jual Vios tersebut, kita akan dapat 5k dan ditambah dgn simpanan ASB kita lagi 10k, kita boleh beli Kia K5 baru.

Tetapi jika dasar Pembangkang nak turunkan 20% duti eksais ni dilaksana, harga Vios akan jatuh jadi sekitar 70k++. Yang Anwar tak sedar, jika harga kereta baru jatuh, harga kereta terpakai juga akan jatuh. Selepas 5 tahun, Vios tadi tak boleh dijual 40k, ia akan jatuh kepada 30k. Ini bermakna, rakyat perlu tambah 5k utk melunaskan hutang di bank dan 15k utk beli kereta baru. Maka kos membeli kereta baru sudah naik dari 10k ke 20k. Apa yg saya perkatakan ini bukan dongengan, perkara ini berlaku tahun 2006 bila kita melaksanakan NAP. Bila harga kereta kita turunkan dengan mendadak tahun 2006, rakyat terbeban dengan baki hutang lebih tinggi dari harga kereta terpakai mereka. Ini menyebabkan walaupun harga kereta lebih murah, jualan kereta pada tahun 2006 dan 2007 merosot dengan mendadak. Adjustment hanya berlaku pada tahun 2008.

Statistik menunjukkan, lebih 50% rakyat negara ini membeli kereta baru selepas menjual kereta lama mereka.  Dasar Anwar ini akan menguntungkan yang kaya raya, bila harga kereta murah, yang kaya akan menambah kereta mereka, mereka tak perlu trade-in atau jual kereta lama macam kita.

Ini akan mengakibatkan, pertambahan kereta akan berlaku dikalangan pengguna kereta mewah. Ianya akan membawa kepada satu lagi masalah baru. Kutipan duti eksais kereta negara tahun 2011 hanya 11.5b, 20% darinya cuma 2.3b. Anwar mungkin ingat, kos menurunkan 20% duti eksais kereta hanya 2.3b, tapi yang dia tak sedar, bila kereta mewah bertambah, maka beban subsidi minyak juga akan meningkat.

Pengguna kancil yang mengisi tangki penuh sebanyak RM40 hanya akan dapat merasa subsidi minyak sebanyak RM18.31. Manakala pengguna kia K5 yang mengisi tangki penuh RM130 akan dapat subsidi RM59.52. Ini jelas menunjukkan bahawa si miskin akan dapat hanya 1/3 dari yg golongan sederhana dapat. Cuba bayangkan berapa banyak yang kereta mewah dan bertangki besar dapat.  Dan bayangkan pula apa yang orang miskin yang tidak berkereta dan bermotor akan dapat. Ini sekaligus menunjukkan kedangkalan Anwar tentang ekonomi. Bukan hanya idea menurunkan duti eksais kereta mendadak tidak bijak, malah idea beliau menurunkan harga minyak juga tidak menguntungkan rakyat bawahan.

Cuba kita lihat apa yang kerajaan BN laksanakan berdasarkan pengalaman memerintah negara selama hampir 56 tahun. Harga kereta telah diturunkan sejak tahun lepas lagi sebanyak 3-5%. Sasaran BN dalam tempoh 5 tahun ini, kita akan menurunkan 20-30% dari harga kereta tersebut, bukan hanya dari harga duti eksais sepertimana yang pembangkang janjikan. Namun, BN lakukan penurunan harga ini secara berperingkat bagi mengelakkan rakyat terbeban dengan masalah harga kereta terpakai mereka lebih rendah dari baki hutang di bank.  Pada tahun 2016 pula, kita akan berpeluang membeli kereta jepun dengan Australia dengan harga yang sangat rendah kerana penghapusan duti import.  Kalau anda bercadang nak menukar kereta dalam masa terdekat, mungkin anda perlu berfikir dengan semasak-masaknya sebelum membeli kereta dari Jepun dan Australia.

Bagi mengurangkan beban sara hidup rakyat, BN tidak memilih untuk mengagihkan kek kekayaan ekonomi negara melalui subsidi minyak sahaja.  Walaupun kita mengekalkan subsidi Ron95 dan Diesel pada RM0.87 seliter, kita membantu rakyat melalui pelbagai subsidi keperluan asas seperti gas masak, disubsidi RM24.51 setong, minyak masak disubsidi RM2.25 sekilo, beras ST15 disubsidi RM7.50 setiap kampit 10kg, gula disubsidi RM 0.34 sekilo dan tepong RM 0.74 sen sekilo.  Selain dari itu pula, BN telah memulakan BR1M 1.0 untuk keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3,000 sebulan.  BRIM 2.0 pula turut melibatkan penerima bujang yang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan.

Adalah tidak benar jika ada yang mengatakan pemberian BR1M membankrapkan negara.  Setiap kali saya berceramah, bila ditanya kepada rakyat adakah mereka masih menyimpan duit BR1M mereka, hampir semua menjawab dengan sepontan, “Dah Habis!”.  Jika wang tersebut digunakan untuk membeli beras, sudah pasti ianya akan membantu mereka yang terlibat dlm sektor penanaman padi, jika ianya digunakan untuk membeli sayur, pekebun sayur akan merasai manafaatnya, jika ianya digunakan untuk membayar duit rumah, manafaatnya akan dinikmati oleh mereka yang terlibat dengan industri perumahan dan perbankan. Pendek kata, BR1M boleh kita anggap sebagai pakej stimulasi ekonomi bentuk baru. Ianya merangsang ekonomi negara dengan cukup berkesan. Tidak hairanlah, ekonomi Malaysia terus kekal mantap dikala dunia mengalami impak kegawatan ekonomi.

Dasar Anwar menambah kereta mewah di pasaran dengan penghapusan 20% duti eksais secara mendadak ini juga boleh kita anggap sebagai satu langkah kebelakang.  Dasar BN, setiap perkara yang kita laksanakan harus mengambil kira soal masa depan negara. Anwar pula, tidak pernah memikir tentang masa depan negara, tetapi lebih kepada siapa depan dia. BN telah lakukan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya dan pencemaran udara dengan menjalankan kempen kempen kongsi kereta, memperbaiki mutu pengangkutan awam seperti penyediaan Bas Rapid, Komuter, LRT, Monorel dan hari ini kita terpaksa menggali terowong untuk membina MRT.  Yang menghairankan saya, bagaimana Anwar yang dianggap sesetengah golongan sebagai seorang yang mempunyai visi boleh mengemukakan satu dasar yang mengakibatkan lambakan kereta mewah. Bukankah langkah ini satu langkah kebelakang?  Saya berharap, rakyat tidak akan membiarkan diri mereka ditipu sepertimana Rakyat Selangor ditipu tahun 2008.  Jika masih hidup selepas dipatuk ular sekali, Alhamdulillah, berhati-hatilah bila berhadapan dengan ular. Tapi kalau kita dengan sengaja membiarkan ular itu mematuk kita dua kali ditempat yang sama, itu bererti memang kita perlukan bantuan pakar sakit jiwa. -watan

About Street Writer

Hi there! I am Hung Duy and I am a true enthusiast in the areas of SEO and web design. In my personal life I spend time on photography, mountain climbing, snorkeling and dirt bike riding.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

1 comments:

  1. semua nak rasa naik kete best yop..... dengan installment yang setara.

    ReplyDelete